rap

'Fokus separuh akhir dulu, kalau masuk AJL baru saya pening' - Ernie Zakri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Ernie Zakri yang kini sarat hamil tujuh bulan belum terfikir mengenai penyanyi gantian jika lagu Boneka atau Good Bye Hello duet bersama Syamel layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36).

Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia mahu fokus terhadap dua lagu itu dahulu pada Separuh Akhir Muzik Muzik 36, Jumaat ini.

"Perkara ini pernah juga saya borakkan dengan Syamel. Kalau masuk AJL macam mana? Sekarang ini tak nak pening kepada dan fikir ke situ dulu. Saya nak fokus separuh akhir dulu sebab ada dua lagu. 

"Insya-Allah saya cuba untuk buat yang terbaik. Kalau boleh nak nyanyikan dua lagu itu pada hari sama supaya tak penat badan. Jadi nak fokus itu dulu, tapi kalau dapat nanti, baru kita pening lepas ni," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ernie, dia juga tidak mahu sekadar memilih siapa pengganti selain berharap penyanyi itu adalah pilihan terbaik.

"Sejujurnya, jika lagu Boneka ke AJL belum terfikir lagi siapa pengganti. Sebab Boneka lagu perempuan dan Good Bye Hello pun duet. Terfikir juga siapa boleh gantikan saya. Dalam perkara ini tak boleh sekadar fikir siapa ganti. Kena fikir juga gimik yang perlu dibuat pada AJL tu. Jadi nantikan insya Allah. Kalau kedua lagu atau salah satu ke AJL, doakan pilihan saya adalah yang terbaik nanti, insya Allah," katanya.

Dalam masa sama Ernie berkata dia mahu memberi keutamaan pada diri sendiri yang dijangka bersalin pada hujung Februari tahun depan.

"Kalau dapat, memang tak boleh nyanyi sebab masa itu sedang berpantang. Saya dijangka bersalin pada hujung Februari atau awal Mac tahun depan. Tarikh AJL pun tak tahu lagi. Jadi, nak tak nak saya kena utamakan diri sendiri dulu. Kalau AJL selepas habis pantang sudah tentu saya okay," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2021 @ 12:15pm
d