rap

Molek FM untuk Kelate dan Ganu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Media Prima Audio (MPA) mengumumkan pembukaan stesen radio baharu di bawah naungannya iaitu Molek FM.

Stesen baharu dengan tagline Gu Pantai Timur itu bakal memberikan hiburan dan meraikan komuniti Pantai Timur melalui gaya hidup, warisan dan tradisi setempat selain memainkan muzik terbaik yang dikenali ramai. 

"Selepas kejayaan platform radio MPA dalam menjenamakan semula radionya pada Ogos lalu, kini MPA dengan rasa gembiranya mengumumkan pembukaan stesen radio baharu dikenali sebagai Molek FM. Ia menyasarkan pendengar berusia 18 hingga 39 tahun selain memberi fokus kepada pendengar berusia 24 hingga 34 tahun di negeri Kelantan dan Terengganu. Maklumat mengenai penyampai dan pengisian Molek FM akan diumumkan pada sidang media yang akan berlangsung pada 7 Januari nanti," kata satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Molek FM boleh didengari menerusi frekuensi 105.1 FM di Kota Bharu, Kelantan dan 93.6 FM di Kuala Terengganu, Terengganu.

Untuk mengetahui pelbagai info lanjut mengenai Molek FM, boleh terus ikuti laman sosial Molek FM di Facebook Molekfm, Instagram @molekfm dan Twitter @MolekFM serta YouTube Molek TV.

Terdahulu MPA pada 29 November lalu mengumumkan penukaran frekuensi untuk dua stesen radio di bawah naungannya iaitu Hot FM dan Buletin FM.

Dalam kenyataan sama, MPA juga memaklumkan mengenai penutupan frekuensi Buletin FM di Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, siaran saluran radio mereka masih boleh didengari di beberapa platform digital. 

Disiarkan pada: December 30, 2021 @ 5:54pm
d