rap

'Tolong hormat hasil kerja orang' - Loca B

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Loca B kecewa dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan Black Hat Records yang didakwa melakukan kerja tidak sempurna apabila memuat naik album terbaru suaminya, Tuju yang juga anggota kumpulan K-Clique di Spotify dan Apple Music secara tidak lengkap.

Loca menerusi Instagram berkata, dia meminta supaya pihak terbabit menghormati hasil kerja anak seni.

"Kecewa. Ini bukan kerja syarikat rakaman antarabangsa. Ini adalah kerja yang tak terurus. Saya pernah bergerak secara bebas dan tak pernah berdepan dengan hasil kerja tak kemas begini.

"Seni sudah diberi 1,000 peratus. Biar kerjanya sama dengan kualiti seni itu. Paling kurang, buatlah kerja yang kemas terutamanya untuk sesuatu yang asas. Hormat seni orang," tulisnya.

Dalam hantarannya dua hari lalu, Loca turut menjelaskan mengenai janji kosong yang dibuat syarikat rakaman itu untuk membetulkan kesilapan mereka dari sudut gambar kulit album dan beberapa lagu yang tidak lengkap.

"Lancar 31 Disember. Janji 3 Januari dah okay, Tiap hari, tambah 48 jam? Ini hari keenam, tambah lagi 48 jam. Buka mata, periksa setiap hari, masih sama. Masih lagi ada lagu yang separuh jalan tak lengkap. 'Cover' depan dan belakang, kamu cantumkan jadi satu 'cover'. Nama album terpotong.

"Ini seni orang, tahu. Saya kecewa, kami kecewa. Di mana kualiti dalam kerja? Sila betulkan," tulisnya.

Tinjauan Harian Metro di platform penstriman Spotify dan Apple Music menyaksikan ada beberapa kesilapan yang sudah diperbetulkan dari sudut senarai lagu dan susun letak kulit album.

Namun, di ruangan komen Instagram Loca B, ramai netizen yang meluahkan kekecewaan dengan rekaan kulit album yang dianggap tidak berkualiti.

"Ini pakai Microsoft Word saja ni kak," tulis satu komen.

Sementara itu, jurucakap Warner Music ketika dihubungi Harian Metro berhubung perkara ini berkata, buat masa ini mereka tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Disiarkan pada: January 8, 2022 @ 3:03pm
d