rap

Elizabeth Tan fobia memandu

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Walaupun sudah memiliki lesen memandu sejak berusia 18 tahun, pelakon dan penyanyi popular, Elizabeth Tan, 28, tidak pernah memandu kerana perasaan takut yang menebal akibat trauma dan fobia teruk terhadap jalan raya.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy ketika ditemui berkata, dia enggan memandu sendiri untuk ke mana-mana kerana perasaan takut yang menguasai diri.

"Saya takut untuk memandu kereta sendiri. Jadi, selama ini jika mahu ke mana-mana pun saya akan dijemput pengurus, suami atau menggunakan khidmat e-hailing saja.

"Saya pasti tak boleh tenang jika memandu sendiri kerana perasaan terlalu takut itu. Jadi, daripada akan membahayakan diri sendiri dan orang lain, lebih baik saya tak ambil risiko," katanya ketika ditemui di majlis sidang media dan pratonton drama 'siri original' Astro Gempak berjudul Ex Aku Pontianak, di sini, semalam.

Ditanya adakah perasaan takut itu kerana dia pernah terbabit dalam kemalangan, Elizabeth tidak menafikan kerana katanya, dia pernah melanggar sebuah teksi.

"Namun, saya yakin akan beranikan diri untuk memandu juga suatu hari nanti apabila sudah memiliki anak. Ini kerana kebanyakan ibu zaman sekarang memang boleh memandu untuk menguruskan anak mereka.

"Jadi, hendak atau tidak saya tetap kena kuatkan diri untuk memandu sendiri bagi menguruskan anak-anak nanti. Sudah tentu saya juga perlu hantar mereka (anak) ke sekolah dan ketika itu memang kena memandu," katanya.

Dalam pada itu, Elizabeth yang kini turut kelihatan semakin kurus memaklumkan dia dalam proses diet untuk persiapan majlis resepsi perkahwinannya dan suami yang akan berlangsung pada Februari depan.

"Saya diet sejak beberapa bulan lalu untuk persediaan diri di majlis resepsi nanti. Walaupun hampir setahun berkahwin, saya dan suami tetap nak adakan majlis resepsi kami sekarang untuk meraikannya bersama saudara mara pula.

"Sekarang ada peluang buat majlis, kami tak mahu ketinggalan kerana detik indah perkahwinan adalah sekali seumur hidup," katanya.

Elizabeth berkahwin dengan lelaki pilihannya, Siew Jim pada 20 Mac tahun lalu dalam majlis sederhana yang dihadiri 10 orang ahli keluarga kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Baru-baru ini, Elizabeth menjadi perhatian warga maya selepas berkongsi video aksinya menumbuk batang pisang sehingga bersepai di Instagram yang mengundang pelbagai komen daripada netizen.

"Saya pun tak sangka video itu jadi perhatian ramai. Ia hanya suka-suka dan suami saya yang rakamkan. Tapi, komen ditinggalkan netizen memang ada yang lucu dan saya tak boleh halang mereka sebab itu hak masing-masing untuk menulis komen," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 12:32pm
d