rap

'Sudah kahwin lima bulan, belum ada tanda nak dapat anak'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Apabila sudah mula bekerja, terfikir juga mengenai anak," kata pelakon Remy Ishak mengulas berkenaan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangganya yang kini berusia lima bulan.

Remy, 39, yang berkahwin dengan usahawan, Ezza Yusof, 38, pada 21 Ogos lalu berkata, mendengar cerita pelakon Amyra Rosli yang memberitahunya cepat mendapat anak selepas kahwin membuatkan dia teruja.

"Saya sudah beberapa bulan kahwin tapi belum dapat tanda-tanda lagi. Terfikir juga macam mana nanti. Kami masing-masing sibuk.

"Apabila sudah mula masuk lokasi penggambaran, kawan-kawan sudah mula bertanya perkara ini. Mereka tanya saya bila tarikh kahwin dan bila saya beritahu, mereka kata takkan belum ada apa-apa? Pertanyaan mereka buat saya terfikir perkara ini," katanya yang ditemui pada sidang media "The Masked Singer Malaysia" musim kedua yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Remy yang bertindak sebagai juri program itu berkata, dia akan berbincang dengan isterinya selepas ini.

"Kami pun tak pernah bersembang perkara ini. Masing-masing sibuk dengan karier sendiri dan perancangan untuk tahun ini. Tak terfikir pula pasal anak.  

"Nak pergi berbulan madu pun tak sempat lagi. Ingat hari itu nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rasanya selepas itu sudah boleh pergi berbulan madu tapi sebenarnya tak kerana banyak sekatan dari segi dos penggalak vaksin dan lain-lain.

"Apabila sudah boleh pergi saya pula mula sibuk dengan kerja dan sebagainya. Jadi kami belum dapat lagi menikmati saat-saat manis," katanya.

Remy mengakui masih mahu pergi berbulan madu, namun jadualnya kini terlalu padat sehingga Jun depan.

"Kalau dari segi perhubungan itu saya rasa masih lagi biasa. Kami banyak meluangkan masa dengan kerjaya masing-masing. Sepatutnyanya kena ada masa untuk isteri tapi jadual tiada.

"Perancangan awal dulu lepas kahwin kami nak pergi umrah, tapi tak boleh kerana ada sekatan. Katanya bila sydah dapat dos penggalak baru boleh pergi. 

"Saya tengok Kamal Adli dan Uqasha pergi umrah lepas kahwin boleh pula. Kenapa saya tak boleh? Apabila saya nak memohon pergi, jadual pula padat. Kemudian sekarang kita sudah tak dibenarkan buat umrah," katanya.

Remy mengakui buat masa ini memang tiada rezeki untuk mereka buat umrah, berbulan madu dan mendapat anak. 

"Sekarang mungkin Allah sudah susun kami untuk kerja dahulu sehingga tiba waktunya," katanya. 
 

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 8:11pm
d