rap

Fasha, suami tidak berlebihan di media sosial

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Fasha Sandha menjelaskan tidak mempunyai sebarang resipi kebahagiaan sejak mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aidil Aziz sejak tiga tahun lalu.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 38, berkata, dia dan suami bagaimanapun lebih selesa menjalani rutin hidup secara sederhana. 

"Tiada apa-apa rahsia kehidupan harmoni yang kami jalani. Sama sahaja seperti pasangan lain. Cuma mungkin kami memilih untuk menerima kekurangan masing-masing selain hidup dalam serba sederhana saja.

"Bagi saya hidup bersederhana itu penting kerana mampu membibitkan rasa bahagia. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Syukur dengan apa yang dilalui," katanya.

Menurut Fasha, dia juga tidak gemar menayang kebahagiaan rumah tangga secara berlebihan di media sosial.

"Kita boleh berkongsi tetapi sebaiknya tidak keterlaluan, sederhana saja. Dalam apa yang kita buat jangan berlebihan. Sebab saya percaya bila berlebihan itu, ada ketikanya ia boleh datangkan masalah semula kepada kita. Saya dan suami sangat bersederhana. 

"Bagaimanapun, ia terpulang juga kepada individu. Bagi saya, itu adalah sosial media yang kita punya. Jadi sudah tentu kita ada hak untuk mencorakkannya. Sebagai contoh, kalau  memilih untuk lebih privasi, kita boleh lakukan dan begitulah sebaliknya. Selebriti juga mempunyai hak terhadap sosial media masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai keterujaannya tersenarai dalam Top 5 menerusi dua kategori pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME 2021) iaitu Pelakon MeleTOP (Sihir Pemisah) dan Couple MeleTOP di samping Aidil, Fasha meluahkan rasa gembira.

"Kami bersyukur apabila tercalon dalam senarai Top 20. Namun tidak sangka pula apabila nama saya dan suami ada dalam Top 5 pula. Sebab bila lihat senarai yang ada, tidak dinafikan semua nama yang tengah 'in', terkenal dan sebagainya.

"Saya juga terharu dan berterima kasih juga kepada Osman Ali yang beri kepercayaan pada saya untuk terlibat telefilem Sihir Pemisah. Dia beri ruang untuk saya mewarnakan watak itu sebagai pelakon utama. Dia juga tidak pandang pada rupa semata-mata kerana saya pada ketika itu baru sahaja bersalin, badan sedikit berisi.

"Malah lebih istimewa saya dan Aidil kali pertama kali dicalonkan bersama-sama. Tak sangka sebab kita biasa-biasa sahaja. Apa pun inilah dinamakan rezeki untuk kami dan anak-anak," katanya.

AME 2021 bakal diadakan pada 30 Januari ini secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di saluran Astro Ria, jam 9.00 malam.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 8:35pm
d