rap

Maya Karin penat 'simpan' masalah 'anxiety'

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Maya Karin, 42, lega selepas membuat pengakuan mengenai 'anxiety' atau gangguan keresahan dan panik yang dialaminya sejak lapan tahun lalu.

Maya membuat pengakuan mengenai 'anxiety' yang dihadapi selepas menyertai aktiviti selam scuba di Sabah dan berdepan dua serangan 'anxiety' ketika berada dalam air, baru-baru ini.

"Aktiviti itu antara usaha saya untuk melawan 'anxiety. Namun, lain pula yang terjadi apabila saya menghadapi dua serangan ketika berada dalam air. Jadi, saya mengambil keputusan untuk beralih kepada yoga yang lebih menenangkan.

"Pada malam kejadian itu juga secara tiba-tiba saya tergerak hati hendak berkongsi dan memuat naik mengenai 'anxiety'. Sudah penat rasanya berpura-pura dan menyimpan perkara ini seorang diri. Lega apabila dapat berkongsi kepada umum dan terpulang kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri mengenai perkongsian saya," katanya yang bakal tampil dengan filem terbaru berjudul Telaga Suriram.

Disebabkan 'anxiety' juga Maya pernah gagal dalam uji bakat untuk berlakon dalam filem Hollywood, Crazy Rich Asians dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang sebelum ini.

Maya berkata, situasi paling teruk dialaminya adalah berasa gementar hingga tangannya menggigil. Malah, gelas yang dipegang hampir terlepas akibat menggigil.

"Ada masanya saya cuma mahu balik rumah tetapi kita harus profesional sebab orang lain tak tahu masalah yang saya hadapi," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 12:12pm
d