rap

'Rayqal pandai bawa diri, berdikari' - Nora Danish

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Nora Danish berbangga dengan anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang dilihat mempunyai keperibadian baik walaupun dibesarkan dalam keluarga yang tidak sempurna apabila Nora dan bekas suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai sudah bercerai.

Nora berkata, walaupun Rayqal baru berusia 12 tahun, tetapi dia pandai membawa diri dan berdikari.

"Saya bersyukur Rayqal dilahirkan menjadi anak yang sangat penyayang dan menyayangi seluruh ahli keluarganya. Dia anak yang pandai berdikari dan berani.

"Kalau saya bawa ke mana-mana, dia akan menjaga adiknya. Semua orang begitu rapat dengan Rayqal termasuk sepupu-sepupu di sebelah Jejai.

"Walaupun saya dan Jejai sudah berpisah tapi kami tak pernah cakap benda yang mengarut, malah kami selalu terapkan perkara yang positif. Mungkin sebab itulah dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang," katanya.

Menurut Nora, Rayqal juga tidak memiliki sifat cemburu apabila melihat Nora memberi perhatian kepada adiknya, Mohamed Neqayl Nedim.

"Alhamdulillah, Rayqal tidak pernah berasa cemburu apabila melihat saya mungkin lebih manjakan Ney Ney (panggilan Neqayl) sekarang ini. Malah, kalau dia tengok saya marah Ney Ney, dia pula yang tegur saya dan beritahu adiknya masih budak lagi. Dia pula yang betulkan saya," katanya.

Rayqal adalah satu-satunya anak daripada perkahwinan pertamanya dengan Jejai.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Nora kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Nedim Nazri pada 2017 dan dikurniakan seorang anak iaitu Mohamed Neqayl Nedim yang kini berusia tiga tahun.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 6:04pm
d