rap

Siti menyerlah sebagai adiwira 'Mulan bertudung'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, muncul sebagai watak adiwira Mulan pada acara majlis perjumpaan dan sambutan ulangtahun Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Sitizone, hari ini. 

Siti ketika ditemui berkata, watak dan perwatakan adiwira itu bersesuaian dengan angan-angannya sebagai ketua dan pemimpin, selain mudah untuk disesuaikan dengan imej bertudung. 

"Pada awalnya, saya pilih watak Mulan sebab sopan dan saya sukakan watak adiwira. Bila memakai kostum Mulan ini, saya rasa berangan macam jadi pemimpin dan ketua perang," katanya kepada Harian Metro. 

Mengulas tema pakaian ditetapkan untuk majlis ulangtahun kali ini iaitu watak dari drama dan filem, Siti berkata, ia menjadi kebiasaan dia dan kelab peminatnya setiap kali bertemu dalam majlis seumpama itu.

"Tema ini untuk seronok-seronok saja. Memang peminat-peminat saya pun dah biasa dengan tema-tema yang ditetapkan setiap kali perjumpaan dibuat 

"Sebelum ini, kami dah pernah adakan beberapa tema antaranya kembali ke sekolah, pakaian bercirikan kerjaya dan sebagainya. Jadi, kali ini kami pilih tema watak dari drama dan filem. 

"Memang jelas sekali saya nampak kesungguhan mereka dan memang seronok melihat peminat-peminat gembira," katanya. 

Siti tampil dengan busana Mulan berwarna merah dan kelabu, yang dipadankan bersama tudung hitam lengkap dengan sebilah pedang untuk menyerlahkan identiti Mulan. 

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 3:57pm
d