rap

'Pernafasan dah tak macam dulu'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

DIUJI dengan Covid-19 bukanlah mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar penyanyi memandangkan virus ini mengganggu pernafasan.

Bagi penyanyi dan pelawak, Mark Adam, walaupun kini sudah disahkan tidak lagi positif Covid-19, kesan berpanjangan masih lagi dirasakannya.

"Ada banyak perbezaan yang saya rasakan sebelum dan selepas dijangkiti Covid-19. Daripada segi pernafasan, memang ada perbezaan. Dah tak macam dulu.

"Ada rakan yang bekerja dalam bidang perubatan menyarankan saya melakukan senaman pernafasan setiap hari. Ini untuk memastikan paru-paru saya dapat bekerja dengan baik," katanya.

Menurut penyanyi yang berasal dari Filipina ini, dugaan ketika menjalani kuarantin juga begitu hebat terutama daripada aspek mental.

"Saya rasa sangat trauma terutama setiap kali perlu merekodkan bacaan oksigen dengan menggunakan oximeter. Memang saya jadi sangat trauma setiap pagi dan malam ketika nak rekod bacaan.

"Selain itu, saya juga menjadi seorang yang sangat paranoid terutama pada waktu malam. Namun, alhamdulillah, isteri saya banyak memberi kekuatan dan semangat buat saya," katanya.

Berkongsi mengenai permulaan dia disahkan positif Covid-19, Mark tidak mempunyai jawapan dari mana dia dijangkiti.

"Saya pun tak tahu. Sepanjang dua hari sebelum saya disahkan positif, saya keluar membantu mangsa banjir dan selepas itu disahkan positif.

"Di rumah, Izan (isteri) menjaga saya dan selepas itu, dia pun positif pada hari kedua saya kuarantin.

"Apabila doktor jalankan ujian PCR, doktor maklumkan virus yang ada pada Izan sebenarnya lebih awal sebelum saya dijangkiti, tapi dia tak ada sebarang gejala.

"Alhamdulillah, sekarang kami dah kembali sihat. Cumanya, seperti yang saya jelaskan, ada beberapa kesan berpanjangan yang masih kami rasakan," katanya.

Terbaharu, Mark baru saja selesai sebagai peserta program Hijrahkan Laguku dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

"Program ini banyak memberi ilmu kepada saya selaku seorang mualaf. Banyak yang saya belajar daripada peserta lain juga.

"Dalam program ini, saya banyak dikongsikan dengan kisah Nabi dan ikatan silaturahim sesama manusia. Insya-Allah, saya akan teruskan belajar dan mendalami ilmu agama," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya pada 2022, Mark berkata, dia menyerahkan semuanya kepada Allah.

"Dalam tahun ini, saya serahkan semuanya kepada Allah. Fokus utama saya adalah keluarga. Apa juga rezeki yang datang kepada saya, saya akan terima. Tahun 2021 menyaksikan banyak ujian untuk saya dan keluarga termasuk keluarga saya di Filipina. Di sana, rumah ibu saya juga dihentam taufan.

"Khabarnya, akan ada taufan lagi yang akan melanda. Saya beritahu keluarga di sana, cari tempat berteduh buat sementara dan bila sudah disahkan taufan sudah tamat, barulah kita akan perbaiki mana-mana yang rosak," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 6:30am
d