rap

Hebatnya kuasa sedekah!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BERSEDEKAH ikhlas membantu orang hanya RM5,000 tapi imbuhannya mendapat rumah berharga hampir setengah juta ringgit.

Inilah keajaiban dilalui komposer berpengalaman, Eddie Hamid, 59, yang teruja menanti banglo baharunya yang kini dalam pembinaan di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.

"Satu anugerah Allah kepada saya. Ini satu kejutan kerana saya tak terfikir pun nak dapat rumah macam ini. Ia dibina khas untuk saya di tempat strategik di PCB Resort.

"Kenapa saya kata Tuhan nak bagi saya? Sebabnya saya tak dapat beli rumah sebelum ini kerana masalah tertentu, tapi pemaju ini kata boleh bayar cara lain. Dengan harga yang menarik. Ia kategori rumah A dan difahamkan nanti akan ada taman tema di kawasan ini," katanya.

Eddie berkata, dia terfikir mendapat rumah ini selepas bersedekah terhadap seorang kenalannya.

"Saya terfikir kenapa saya dapat rumah yang cantik dan reka bentuknya ikut saya sendiri? Inilah hikmah sedekah yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya.

"Ia berlaku apabila saya bersedekah kepada seorang individu di kampung. Dengan wang lebih royalti MACP pada Mac tahun lalu, saya pergi ke rumahnya. Rumahnya rumah kayu, saya cat rumahnya, belikan perabot baharu. Tiba-tiba Ogos lalu saya dikejutkan dengan tawaran memiliki sebuah rumah.

"Saya tertarik dengan pemaju berkenaan yang perkenalkan cara bayaran mudah tanpa ada caj faedah. Ia seolah-olah nak bagi saya pakai rumah ini. Apa yang saya minta mereka buat pun ditunaikan. Tanah lot hak milik kekal. Saya pun terkejut. Kuasa sedekah itu ternyata hebat dan saya tak sabar dapat kunci rumah Februari ini," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 6:42am
d