rap

Uyaina Arshad mimpi Syahiran jodoh, suami terbaik

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, 30, mendedahkan dia mendapat petanda jelas bahawa penyanyi Raja Syahiran, 29, adalah jodoh terbaiknya hanya menerusi mimpi.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, meskipun mimpi itu ringkas namun sudah cukup menguatkan hatinya bahawa Syahiran pasangan paling tepat buatnya.

"Saya bersyukur sebab saya pernah dapat petanda dalam bentuk mimpi yang sangat jelas. Alhamdullilah. Dalam mimpi itu, Syahiran datang dan pegang cincin.

"Itu sahaja. Tiada perbualan. Pendek sahaja mimpinya. Tapi cukup. Cukup untuk beri saya kekuatan untuk melangkah ke fasa yang seterusnya," katanya menjawab sebuah pertanyaan di Instagram Stories.

Seorang pengikutnya bertanya bagaimana mengetahui seorang lelaki itu calon yang tepat sebagai jodoh kepada Uyaina. Dia mengakui soalan terbabit memang sangat bagus.

"Bagus soalan ni. Dulu, saya pun selalu tertanya solan yang sama. Saya sangat takut mengenai perkahwinan dan segala hal yang datang dengannya.

"Macam mana kita nak tahu dia adalah yang tepat? Terutama kalau sebelum-sebelum ini, kita pernah lalui beberapa kegagalan dalam hubungan. Buat sahabat wanita saya, tengok keikhlasan dan kesungguhan lelaki itu," katanya.

Uyaina turut menekankan bahawa sangat penting untuk kedua pihak berbincang serius mengenai banyak perkara termasuk kelangsungan masa depan mereka. 

"Bincang mengenai perancangan masa depan, kestabilan kewangan, kemajuan karier, dan apa yang kamu berdua inginkan dalam perhubungan. 

"Gelombang pemikiran kamu sama atau tak?Banyak benda boleh sembang dan bincang selain 'you sayang I' tak.  Kemudian, bincang dengan keluarga. Restu keluarga adalah segalanya," katanya.

Uyaina dan Syahiran melangsungkan pernikahan pada 21 Disember lalu.

Pasangan terbabit mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai 2019. 

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 2:54pm
d