rap

Maryam cari daddy, 'sad'...Mawar Karim pula dikecam

Kuala Lumpur: Bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar Karim menyelar tindakan segelintir pihak yang menuduh dirinya tidak 'move on' apabila memuat naik foto memperlihatkan anaknya, Wan Maryam keseorangan ketika bercuti bersama Fizo dan isterinya.

Malah, segelintir netizen juga mempertikaikan tindakan Mawar yang dilihat sudah tidak lagi berkongsi foto bersama anak perempuannya itu.

Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim berkata, dia bukan sengaja tidak mahu  memuat naik foto Maryam di media sosial.

"Maryam memang ada dengan saya. Setiap dua minggu sekali Maryam akan pergi pada bapanya. Saya bukanlah seorang yang setiap lima minit buat 'live' letak Maryam, setiap 10 minit buat IG Story ada Maryam. Setiap 15 minit buat video banyak-banyak simpan, setiap hari kongsi di media sosial walaupun hakikatnya Maryam sudah tiada di situ.

"Bagi saya masa dengan Maryam amat privasi juga perlu jaga kualiti. Saya jarang kongsi cerita pasal Maryam kerana saya pernah ditegur oleh seorang hamba Allah, jangan selalu kongsi gambar atau aktiviti anak takut banyak penyakit Ain dan hasad.

"Jadi saya pegang kata-kata itu. Ya memang media sosial saya hanya kongsi bisnes sebab IG official atas nama Mawar Karim bukan Maryam," katanya. 

Terdahulu, tindakan Mawar memuat naik dua perkongsian di InstaStory seolah-olah menyifatkan percutian anaknya bersama bekas suami di LEGOLAND Malaysia, Johor, seperti ada yang tidak kena. 

Mawar mendakwa menerima foto Maryam seorang diri di taman tema itu daripada individu yang dirahsiakan identitinya.

Menurut Mawar, dia bukan sengaja memuat naik foto terbabit sebaliknya memandang serius dengan kejadian itu terutamanya selepas mendengar sendiri daripada mulut Maryam.

"Satu lagi, ada hamba Allah hantar gambar pada saya. Jadi, mana-mana ibu akan buat yang terbaik untuk anak.

"Bila saya tunjuk gambar Maryam seorang di situ mesti menjadi tanda tanya. Apa yang menghairankan saya juga apabila Maryam sendiri cakap dengan saya, 'mummy, Maryam merajuk sikit'.

"Mungkin bagi anda perkara ini sangat remeh. Tapi bagi saya tidak. Mungkin juga awak tidak rasa, lalui, perkara apa yang saya sedang hadapi. Hanya melihat dari jauh," katanya.

Dalam pada itu, Mawar turut memuat naik video Maryam yang menyebut perkataan 'trouble' dan 'sad' ketika disoal sebab dia bersendirian di sana.

"Maryam cari daddy..panggil daddy. Maryam sad," kata Maryam kepada ibunya.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan daripada Fizo dan Mawar berhubung perkara terbabit tidak berjaya apabila mesej serta panggilan tidak dijawab. 

Untuk rekod, Mawar berkahwin dengan Fizo pada November 2013 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan itu, mereka memiliki seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia lima tahun.

Selepas dua tahun menduda, Fizo bernikah buat kali kedua dengan bekas pramugari, Fazeera pada 21 Oktober 2021 dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Janda Baik, Pahang.

 

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 2:24pm
d