rap

Azhan Rani syukur masih diizinkan bernafas

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Walaupun cedera agak teruk, pelakon Azhan Rani bersyukur kerana terselamat selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Rawang, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tulang belikat Azhan pecah dan mengalami retak pada tulang bahu dan rusuk.

"Syukur atas izin Allah untuk diri ini terus bernafas," katanya menerusi Instagram.

Dalam kejadian itu, Azhan yang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

Azhan turut mengucapkan terima kasih kepada rakan pelakon, Beto Kusyairi dan isterinya, Tisha Shahar yang banyak membantunya selepas dia terbabit dalam kemalangan itu.

"Doktor kata tulang 'scapula' (belikat) saya pecah tetapi dua insan hebat ini menjadi tulang belakang saya untuk terus berdiri. Dulu dan kini, harta paling lumayan anugerah Ilahi buatku.

"Terima kasih sahabat Beto Kusyairi dan Tisha Shahar serta sahabat-sahabat lain yang tidak berhenti bertanya khabar. Semoga syurga menunggu buat kalian di sana nanti. Terima kasih juga di atas ingatan dan doa-doa semua. Ampun maaf tidak dapat hendak jawab dan membalas semuanya. Insya-Allah, saya akan okay atas izin Allah SWT. Alhamdulillah," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam masa sama, Azhan turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang membantunya pada hari kejadian itu.

"Kepada Muhammad Firdaus dan sesiapa yang membantu pada hari kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, semoga Allah SWT merahmati kalian. Terima kasih juga kepada dua pemandu lori yang berjaya menghentikan lori dan tidak melanggar saya," katanya.

Selain itu, Azhan turut meminta maaf kepada dua lelaki yang turut terbabit dalam kemalangan itu kerana meninggikan suara terhadap mereka ketika dalam ambulans.

"Buat dua adik yang menaiki motor kapcai tengah bersembang tidak memandang depan dan masuk 'lane' (lorong) saya secara tiba-tiba, semoga kamu berdua tidak apa-apa. Maaf, saya naikkan suara ketika dalam ambulans hari itu.

"Mohon jangan membawa motor dengan cara membahayakan begitu lagi. Kita sama-sama syukur Allah SWT bagi kita peluang untuk hidup lagi. Maaf juga buat motor awak hancur," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Azhan tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 11:20am
d