rap

Azhan Rani jalani pembedahan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani, 45, akan menjalani pembedahan pada tulang belikat petang ini susulan kecederaan dialami akibat terbabit kemalangan, baru-baru ini.

Azhan ketika dihubungi berkata, prosedur terbabit akan mengambil masa kira-kira empat jam dan dia memohon doa ramai agar urusannya dipermudahkan.

"Keadaan terkini saya semuanya terkawal sekarang. Cuma pada jam 2 petang ini, saya akan menjalani pembedahan dan ia prosedur biasa sahaja yang memfokuskan pada tulang belikat saya.

"Doktor akan memasukkan dua 'plate' pada bahagian tulang bahu saya sebab pecah tempoh hari. Bahagian lain saya cuma perlu jalani fisioterapi dan insya-Allah tak perlu buat pembedahan.

"Selepas itu hanya perlu pemantauan doktor selain tidak boleh lakukan kerja berat selama beberapa bulan sehingga pulih sepenuhnya. Bahagian tulang rusuk serta paru-paru cuma ada keretakan dan boleh sembuh secara semula jadi," katanya.

Menurutnya, dia kini dalam keadaan baik dan tidak banyak yang perlu dirisaukan. Azhan juga berterima kasih atas keprihatinan ramai yang tidak putus bertanya khabar dan mendoakan kesejahteraannya.

"Saya ucapkan terima kasih atas ambil berat dan perhatian semua. Insya-Alah saya tak apa-apa dan saya cuma perlu berehat. Namun, saya pun sebenarnya tak sabar untuk kembali bekerja semula. Doakan saya cepat sihat," katanya.

Terdahulu, pelakon drama Nur itu terbabit dalam kemalangan motosikal di Rawang, Ahad lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian itu, Azhan mengalami kecederaan pecah tulang belikat dan tulang bahu dan rusuknya retak.

Ketika kejadian, Azhan yang dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

Dia turut meminta maaf kepada dua lelaki terbabit kerana meninggikan suara terhadap mereka ketika dalam ambulans.

Disiarkan pada: January 20, 2022 @ 11:17am
d