rap

Sang Purnama 'jentik' emosi

Oleh Najiy Jefri

DUA penyanyi muda yang memiliki bakat besar, Wany Hasrita dan Wani Syaz kini tampil dengan lagu duet berjudul Sang Purnama yang mengetengahkan genre etnik pop.

Lagu ciptaan Sang Hitam, Mas Dewangga dan Aden King, manakala liriknya ditulis Sang Hitam ini diilhamkan dari kisah percintaan Adam dan Hawa.

Mengakui teruja apabila berkesempatan berduet dengan rakan baiknya, Wani Syaz berkongsi detik sayu yang dialami ketika proses rakaman dilakukan.

Wani berkata, buat kali pertama dia menangis dalam studio kerana bait-bait lirik yang dihasilkan begitu menjentik emosi dan penuh makna.

"Pertama kali saya menangis dalam studio. Secara tiba-tiba air mata saya berlinang dan disaksikan Sang Hitam dan Lan Laga yang ditugaskan untuk membimbing vokal saya pada malam itu.

"Malu pun ada, tapi sebab masa itu saya dah tak dapat kawal perasaan penat, vokal saya dah mula terketar-ketar dan ditambah pula saya sedang rakam bait lirik yang menyebut 'Kerna sedalam dalam rindu mu akhirnya bertaut semula', saya begitu teremosi.

"Sebenarnya kalau kita hayati lirik lagu ini, ia memang boleh terbitkan rasa sayu. Ini kerana lirik lagu ini menggambarkan perasaan Hawa ketika berpisah dengan Adam," katanya.

Bagi Wany Hasrita, dia tidak mahu hadir ke sesi rakaman dalam keadaan tidak bersedia dan dia terlebih dulu mendengar beberapa lagu popular nyanyian Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai sumber rujukan.

"Sebagai penyanyi saya mahu hasilkan karya yang bagus. Jadi, beberapa hari sebelum tarikh rakaman, saya cuba hayati bait-bait lirik dan melodi lagu ini dengan sebaik mungkin.

"Saya juga ada buat beberapa rujukan dengan mendengar lagu-lagu nyanyian Noraniza Idris dan Datuk Siti, selain mendengar lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya cuba terapkan di dalam lenggok nyanyian saya. Memang susah, tetapi sebagai anak seni saya kena rajin jika nak maju.

"Ingatkan saya seorang saja yang buat macam itu, rupa-rupanya Wani Syaz juga buat perkara sama kerana kami nak pastikan hasil karya kali ini menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan," katanya.

Dalam pada itu, Sang Hitam yang bertindak sebagai pencipta dan penulis lirik berkata, pada awalnya lagu terbabit dihasilkan kepada dua figura terkenal tanah air iaitu Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza kerana kepakaran mereka membawakan karya berteraskan etnik pop dan padang pasir.

Bagaimanapun, selepas melodi dan liriknya siap, dia berfikir alangkah baiknya jika lagu itu dinyanyikan orang baharu, sekali gus terbayang wajah Wany Hasrita.

"Selepas saya dengarkan lagu ini pada FMC Music, pihaknya mencadangkan supaya lagu ini dibuat secara duet. Maka saya ubah beberapa bahagian untuk disesuaikan dengan konsep duet dan padankan dengan karakter nyanyian Wani Syaz.

"Saya rasa puas apabila Wany Hasrita memberi sepenuh jiwa untuk lagu ini. Bukan saja saya dapat apa yang saya gambarkan, tetapi Wany Hasrita dan Wani Syaz memberi sesuatu yang luar biasa. Saya suka lenggok nyanyian Wani Syaz yang merdu dan bernahu Arab. Begitu juga dengan Wany Hasrita. Saya Minta A mereka terus bagi sampai C dan D ," katanya.

Muzik video Sang Purnama dilancarkan sejak 20 Januari lalu saluran YouTube FMC Music, manakala versi audio dilancarkan serentak sejak semalam di seluruh saluran digital dan radio.

Disiarkan pada: January 22, 2022 @ 6:15am
d