rap

Single baharu pengubat duka

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN permulaan tahun ini dilalui penyanyi Sarah Suhairi dengan dugaan dihambat pelbagai kecaman pedih dan menghiris hati daripada netizen, namun dia sekadar akur dan mengambil positif di atas apa yang berlaku.

Segalanya berpunca daripada kegagalan Sarah menyanyikan lagu Penat dendangan asal Andi Bernadee di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) lalu, sekali gus tidak melayakkan karya itu mara ke Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36).

Apa pun, duka dikecam warga maya itu kini sedikit sebanyak mungkin terubat selepas Sarah hadir dengan single terbaharu, Pasrah yang muzik videonya dilancarkan baru-baru ini di YouTube MVM Music.

Malah, lagu hasil ciptaan komposer Farouk Roman dan lirik pula ditulis Senna yang bergenre balada itu menjadi lagu tema (OST) drama Kau Cipta Kasih yang kini disiarkan slot Samarinda TV3, jam 10 malam dari Isnin hingga Khamis.

Kali pertama dapat peluang menyanyikan lagu Farouk, juara Big Stage musim pertama ini mengakui dia sangat teruja apabila antara impiannya sudah menjadi kenyataan. Sarah berkata, dia sudah lama berhasrat menyanyikan lagu Farouk.

"Alhamdulillah, sekali lagi single nyanyian saya dipilih menjadi lagu tema drama dan ia rezeki yang amat disyukuri. Sekurang-kurangnya, apabila dipilih sebagai lagu tema ini dapat membantu promosi dan publisiti lagu Pasrah kepada pendengar.

"Dalam situasi wabak Covid-19 masih menular ini, banyak prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan perlu diikuti sepanjang berurusan. Jadi, saya tak nafikan pemilihan lagu ini menjadi OST drama sangat bermakna terutama bagi promosi dan publisiti," katanya.

Menurut Sarah, dia juga meletakkan sasaran untuk fokus pada karier nyanyiannya berikutan tahun lalu banyak aktiviti seni yang tertangguh. Malah, katanya hanya dapat melancarkan single baharu, tetapi urusan promosi agak kurang.

"Boleh dikata urusan promosi untuk beberapa single baharu saya pada dua tahun lalu berhadapan kekangan kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan jangkitan Covid-19 yang tinggi dalam negara.

"Sekarang rakyat pun ramai yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 termasuk pengambilan dos penggalak, ia sedikit melegakan. Namun, tetap kena berhati- hati juga sebab ada varian Omicron pula.

"Apabila difikir-fikirkan agak mencabar juga meneruskan kelangsungan hidup pada masa kini, namun apa yang berlaku adalah takdir dan kita tak boleh elak. Hanya kena banyak berdoa kepada Allah untuk minta perlindungan-Nya," katanya.

Kata penyanyi lagu Bicara Rasa ini, biarpun positif dan begitu berhati- hati dalam menjaga diri ketika berususan di luar, dia bagaimanapun tetap bimbang.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 6:45am
d