rap

Dengan Ziana Zain pun susah nak duet - Anuar Zain

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Anuar Zain tidak merancang untuk berduet dengan mana-mana penyanyi baru seperti dilakukan kebanyakan penyanyi senior lain.

Anuar, 52, atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain berkata, dia tidak melihat populariti seseorang penyanyi itu sebagai alasan untuknya bekerjasama atau berduet.

"Buat masa ini tidak ada perancangan ke arah itu (berduet dengan penyanyi baru). Kalau bercakap soal lagu duet, buat masa sekarang saya nak sendiri saja.

"Memang ramai yang bekerjasama, tapi masing-masing ada cita rasa dan alasan. Kalau nak berduet, saya kena kenal betul-betul dan yang selesa untuk bekerjasama. Dengan kakak saya, Ziana Zain pun susah nak dipadankan. Sebab itu tak boleh rakam lagu sampai sekarang. Puas cari lagu tapi susah. Sebab itu saya berasakan kalau nak berduet, kena betul betul ikhlas dan bukannya kerana populariti orang itu," katanya ketika ditemui di sidang media Makan Malam Amal Anuar Zain - Karena Aku Cinta di hotel terkemuka di ibu kota, hari ini.

Makan Malam Amal Anuar Zain - Karena Aku Cinta bakal diadakan pada 5 Mac depan di Ipoh International Convention Centre (IICC), Ipoh, Perak.

"Acara ini menghargai dan menyalurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan atau 'frontliners' yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang wabak melanda dan juga menghargai penggiat seni tempatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Anuar berkata, majlis anjuran bersama Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad itu bertujuan untuk berhibur sambil beramal.

Tiket berharga RM230, RM280 dan RM380. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh hubungi atau WhatsApp di talian 011-36088001 atau boleh dapatkan tiket di kaunter tiket Bond Suites Sales Gallery @ IICC.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 7:18pm
d