rap

Angkat karya Hong Kong

Oleh Najiy Jefri

PLATFORM penstriman MUBI kini membawakan tujuh filem hebat arahan Wong Kar Wai yang mula ditayangkan sejak 12 Disember lalu.

Dikenali sebagai salah-seorang pengarah filem terkenal di Hong Kong, Kar Wai mengambil masa lima tahun untuk proses restorasi digital yang merangkumi filem hebat arahannya berjudul Chungking Express pada 1994, Fallen Angels (1995), Happy Together (1997), In the Mood for Love (2000) dan 2046 (2004),

Restorasi ini diketuai L'Immagine Ritrovata dan disiapkan di Bologna, Itali dan Hong Kong di bawah seliaan Kar Wai selain kerjasama bersama Criterion.

Selain itu, MUBI turut membawakan filem Ashes of Time Redux yang ditayangkan pada 2008 dan The Hand (2004).

Pelancaran koleksi baru ini hadir selepas 20 tahun tayangan perdana In the Mood for Love, filem yang memenangi pelbagai anugerah dan juga mendapat pujian meluas di seluruh dunia pada tayangan sulungnya di Festival Filem Cannes 2000.

Filem terbabit menyaksikan Tony Leung menjadi pelakon Hong Kong pertama memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Christopher Doyle, Mark Lee dan William Chang menerima Grand Prize of the Superior Technical Commission.

Sementara itu, filem Chungking Express yang kini sudah menemui penonton di MUBI sememangnya sebuah karya hebat pada era 1990-an.

Chungking Express menyaksikan empat kehidupan saling berkait yang disatukan di bawah lampu-lampu tiruan dan lorong-lorong labirin di Chungking Mansions, sebuah kompleks komersil di Hong Kong.

Dibintangi Brigitte Lin, Tony Leung dan Faye Wong, kisah indah namun melankolik ini memperlihatkan kesunyian, patah hati dan pencarian sesebuah hubungan yang semakin pudar dalam dunia yang semakin terasing.

Filem Fallen Angels pula sebuah thriller-romantik yang gelap di sebalik pemandangan waktu malam bandar raya Hong Kong.

Filem ini menyaksikan hubung kait nasib beberapa watak misteri di bawah sinaran lampu neon metropolis, termasuk seorang pembunuh upahan yang insaf dan ingin meninggalkan pekerjaannya.

Bagi filem Happy Together yang mencatat kemenangan di Festival Filem Cannes 1997 pula menyaksikan Kar Wai dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, anugerah pertama dalam sejarah kepada penerima dari Hong Kong.

Dalam pada itu, filem 2046 adalah karya Kar Wai yang berhantu dan sekuel enigmatik kepada adikarya tahun 2000.

2046 adalah satu eksplorasi romantik dan melankoli mengenai hubungan cinta, waktu dan memori yang digambarkan.

Lebih menarik, filem The Hand adalah versi sambungan kepada sumbangan Kar Wai untuk Eros, sebuah antologi filem tiga bahagian termasuk karya Michelangelo Antonioni dan Steven Soderbergh.

Filem ini menampilkan Chang Chen sebagai pembantu tukang jahit yang dihantar untuk mengambil ukuran seorang pelacur kelas atasan lakonan Gong Li.

Pertemuan pertama yang intim membuatkan beliau membuat pakaiannya dengan penuh kasih untuk beberapa tahun sehingga perniagaannya berkembang.

Tidak ketinggalan, filem Ashes of Time Redux yang mengangkat tema seni mempertahankan diri turut ditayangkan di MUBI.

Filem ini menampilkan beberapa bintang hebat Hong Kong antaranya Leslie Cheung, Brigitte Lin dan Tony Leung dalam kisah romantis dendam dan meruntun jiwa di padang pasir Jianghu.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 6:30am
d