rap

Nabila Razali buat kejutan panggilan video kepada 'wartawan cilik' [METROTV]

Oleh Georgie Joseph & Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali melakukan kejutan dengan membuat panggilan video kepada Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, yang digelar wartawan cilik selepas video dia membuat laporan langsung penemuan ular sawa di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah yang tular baru-baru ini.

Nabila membuat panggilan itu selepas mengetahui Haziq adalah salah-seorang peminat setianya.

Menerusi perkongsian video di Instagram Nabila, Haziq dilihat tergamam apabila menerima kejutan panggilan video daripada penyanyi pujaan hatinya itu.

Lebih menarik, Haziq berpeluang berbual dan menyanyikan lagu Peluang Kedua kepada kepada Nabila.

Nabila ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan Haziq ada membuat tulisan tangan 'I Love Nabila Razali' pada 2020 dan foto terbabit dimuat naik ibunya di Facebook.

"Jadi, saya tertarik nak buat panggilan video kepada Haziq untuk melihat reaksi spontannya. Tak sangka, dia agak terkejut dan tergamam. Namun, dia sangat peramah dan bersahaja.

"Haziq sememangnya memiliki bakat yang besar dan kami sempat menyanyikan lagu Peluang Kedua bersama-sama," katanya.

Nabila berkata, dia juga mendoakan impian Haziq untuk bergelar cef akan tercapai.

"Walaupun baru berusia 12 tahun, dia juga sudah rajin masuk dapur dan memasak pelbagai juadah makanan. Saya doakan semoga impian Haziq untuk bergelar cef akan dipermudahkan. Saya percaya dengan bakat dan anugerah yang dimiliki segalanya tidak mustahil," katanya.

Nabila juga menyatakan hasratnya dapat berjumpa dengan Haziq suatu hari nanti.

Selain itu, dia berharap orang ramai dapat menyokong perniagaan makanan yang diusahakan kanak-kanak itu.

Haziq menjadi tular selepas video dia melaporkan penemuan ular sawa secara langsung sebelum ini jadi perhatian berikutan kepetahannya bercakap.

Video berkenaan juga mencatat lebih satu juta tontonan.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 4:29pm
d