rap

'Apa salahnya kahwin artis?' - Zizan Razak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Ada orang cakap, jangan cari artis (sebagai jodoh). Kenapa? Hina sangatkah artis? Saya pun artis."

Demikian kata pelakon, Zizan Razak mengulas mengenai persepsi sesetengah netizen yang umpama lebih tahu mengenai siapakah yang sesuai menjadi jodohnya.

Zizan berkata, kita sesama manusia tidak ada hak untuk merendah atau melabelkan sesiapa dengan persepsi yang tidak baik.

"Seteruk mana pun seseorang itu, jangan pernah menghina kerana kita tak tahu pengakhiran dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zizan, dia juga menyerahkan segala urusan berkaitan jodoh kepada Allah dan tidak pernah rasa tertekan apabila berbicara mengenai jodoh.

"Saya serahkan semua kepada-Nya. Sebelum ini, saya pernah merancang untuk berkahwin pada usia 25 tahun, namun selepas percubaan saya sebelum ini, rancangan itu tidak menjadi.

"Itu kerja Allah. Takkan saya nak marah dengan takdir. Saya teruskan langkah dengan apa yang ada depan mata saya iaitu kerja seni dan rezeki dalam perniagaan. Tak ada sebab untuk saya tak mahu bersyukur. Saya okay dan tak ada rasa tertekan," katanya.

Ditanya sama ada dia akan lebih berahsia sekiranya menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita selepas ini, Zizan berkata, dia akan lakukannya dengan cara sepatutnya.

"Saya akan buat secara 'proper' (sepatutnya) sebab saya ada pengurusan. Kalau tak jemput pun (untuk majlis perkahwinan), saya akan maklumkan. Setakat ini, tak ada apa-apa lagi," katanya.

Terbaru, Zizan bakal memulakan penggambaran untuk telefilem aksi komedi berjudul Rompak yang turut dibintangi Daiyan Trisha, MK K-Clique dan Siti Khadijah.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 4:50pm
d