rap

Pegang amanat ayah

Oleh Zaara Talita

MENCIPTA nama menerusi platform media sosial, Ajoi atau nama sebenarnya Muhammad Qaidzul Zainal Abidin enggan menempa populariti bersandarkan bayangan penyanyi Akim Ahmad.

Ajoi, 24, mengakui sering menerima komen menyamakan wajahnya dengan vokalis The Majistret itu namun memilih untuk tidak menggunakannya sebagai tiket untuk menembusi industri muzik tempatan.

"Semestinya saya berbangga apabila ada yang menyamakan saya dengan Akim Ahmad, malah saya juga ingin menjadi sepertinya. Bukan saja boleh menyanyi malah dalam masa yang sama menulis lagu.

"Cuma saya cuba sedaya upaya untuk tidak dibayangi atau disamakan dengan Akim. Oleh itu, saya cuba sebaik mungkin untuk tidak bertanding membawakan lagu Akim. Bukan kerana tidak minat, sebaliknya saya ingin mencipta nama sendiri di pentas.

"Malah, saya juga sering menyertai program nyanyian dan pernah ditolak gara-gara menyanyikan lagu Akim. Mereka tidak mahu saya berselindung atau meniru identiti penyanyi sedia ada," katanya.

Tidak dinafikan nama Ajoi Zainal sudah cukup dikenali dalam kalangan pengguna media sosial. Masakan tidak, dia sering memuat naik lagu nyanyian semua atau 'cover version' di laman sosial, baik di Instagram mahupun di TikTok.

Terbaharu Ajoi tersenarai sebagai peserta program realiti Big Stage 2022 yang bakal berlangsung pada 6 Februari ini.

"Sebelum ini saya pernah menyertai program All Together Now Malaysia (ATNM) dan saya diminta untuk menyertai uji bakat bagi Big Stage 2022. Pada awalnya, saya tak letak harapan.

"Maklumlah, saya hanya buat 'cover' lagu sedangkan peserta musim lalu semuanya sudah ada single. Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana rezeki berpihak kepada saya.

"Saya tak nak bagi jawapan klise. Ya, suara saya adalah senjata utama. Selain itu, persembahan dan penghayatan lagu juga boleh saya sifatkan sebagai senjata sampingan," katanya.

Dalam pada itu, Ajoi berkongsi yang dia mempunyai kebolehan menghayati lagu selepas ayahnya meninggal dunia empat tahun lalu.

"Sejak arwah ayah pergi, rasa itu datang sendiri. Justeru, saya mahu bawa semangatnya dan cuba sehabis baik. Sebab arwah ayah sangat menyokong kerjaya seni saya.

"Dalam bahasa kasarnya, arwah ayah pernah cakap 'aku nak tengok anak aku jadi artis' dan kalimat itu akan saya ingat sampai bila-bila," katanya.

Pastinya Ajoi turut berharap dapat kekal lama dalam Big Stage 2022 supaya dia dapat menonjolkan potensinya sebagai penyanyi versatil.

Selain Ajoi, peserta lain yang terbabit antaranya Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).

Big Stage 2022 bakal bersiaran bermula 6 Februari ini di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).

Disiarkan pada: January 31, 2022 @ 6:21am
d