rap

Anak Jamal Abdillah, Zaki Yamani dah jadi 'tauke' kedai makan

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Usia yang masih remaja dan status sebagai anak penghibur terkenal, Datuk Jamal Abdillah membuatkan ada segelintir rakan sekolah, penyanyi Zaki Yamani, 16, tidak percaya dia kini mengusahakan kedai makan.

Zaki dihubungi berkata dia tidak kisah pun sama ada rakan sekolah mahu percaya atau tidak kerana paling utama baginya ialah terus berusaha mencari rezeki bersama ibu tersayang.

"Hampir lima bulan, saya mengusahakan bisnes kedai makan dikenali Ngopi Dulu Yop yang lokasinya di Kajang, Selangor. Saya dan ibu berganding bahu menjalankan perniagaan ini.

"Segalanya bermula kerana Covid-19 yang mana karier seni saya agak terjejas apabila tiada tawaran 'show' menyanyi dan pada masa sama berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya dan ibu kena berfikir bagaimana nak menjana pendapatan kami kerana terikat komitmen seperti bayaran sewa rumah, bil elektik dan air serta saya juga masih bersekolah. Jadi, semua ini perlu pembelanjaan," katanya kepada Harian Metro.

Syukur melalui idea diilhamkan ibu, ada baiknya juga kami cuba menjalankan bisnes makanan dan minuman. Zaki berkata, dia tak sangka bisnesnya menerima sambutan baik daripada pelanggan.

"Walaupun harus bahagi masa antara bisnes dan belajar, saya tak nafikan ada rasa penat juga. Tapi, kedai saya beroperasi setiap hari dari jam 3 petang hingga 11 malam. Jadi, masa saya memang banyak berada di kedai.

"Tambah lagi, di kedai saya jadi barista yang buat air, selain sibuk juga melayan 'order' pelanggan. Apapun, saya gembira kerana ibu sentiasa ada bersama," katanya.

Berbicara mengenai menu makanan di kedainya, Zaki berkata ada pelbagai hidangan makanan segera inspirasi dari Korea disediakan berserta minuman berasaskan kopi dengan harga berpatutan.

Zaki yang mengakui minat berniaganya 'masih hijau', memaklumkan dia kini merancang untuk membuka satu cawangan kios baharu di Shah Alam selain sekarang beroperasi di Kajang dan Setapak, Kuala Lumpur.

Mengulas juga kerjaya nyanyian, Zaki yang baru dua tahun bergelar penyanyi mengakui teruja hendak melancarkan lagu baharu tidak lagi kerana membabitkan gandingan trio antara dia bersama bapa dan abangnya, Osama Yamani.

Disiarkan pada: February 1, 2022 @ 6:18pm
d