rap

Tya Arifin sebak dapat pulang ke Palembang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan usahawan, Tya Arifin meluahkan rasa syukur apabila dapat pulang ke tanah kelahirannya di Palembang, Indonesia selepas dua tahun tidak pulang akibat kekangan pandemik Covid-19.

Tya yang pulang bersama dua anaknya iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa terpaksa berjauhan dengan suami, Asyraf Khalid memandangkan perancangan untuk pulang ke kampung dibuat pada saat akhir.
"Keputusan untuk balik kampung dibuat pada saat akhir. Jadi, suami tidak dapat ikut kerana dia memerlukan visa pelancong untuk memasuki Palembang.

"Proses mendapatkan visa mengambil masa. Jadi, saya dan suami 'berpisah' seketika. Suami juga boleh menguruskan perniagaan jus kesihatan kami," katanya.

Dalam hantarannya di Instagram, Tya yang dijemput bapanya ketika tiba di lapangan terbang di sana kelihatan sebak saat memeluk bapanya dan berkongsi perasaan bahagianya dapat bertemu keluarga. "Alhamdulillah sampai di Palembang selepas lebih dua tahun tidak bertemu. Sebagai anak, kita haruslah lalukan yang terbaik untuk ibu bapa dan keluarga kita selagi mereka masih ada," tulisnya.

Berkongsi pengalaman mencuit hati, Tya berkata, anak keduanya, Azzahra tidak mengenali datuknya kerana sudah lama tidak berjumpa.

"Tya terkejut kerana sampai saja di Palembang, Ara dijemput oleh datuknya. Pada permulaan dia asyik menangis dan kelihatan sangat janggal kerana lama tidak bertemu. Namun selepas beberapa hari di sini, dia makin manja dengan datuk dan neneknya," katanya.

Kepulangannya ke Palembang bukan saja untuk bertemu dan menziarahi keluarga serta sahabat-sahabatnya, malah Tya juga merancang untuk melebarkan perniagaannya di sana.

Terdahulu, sebelum pulang ke Palembang, Tya dan anak-anaknya menjalani kuarantin di sebuah hotel di Jakarta.

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 11:55am
d