rap

Nabila Razali positif Covid-19 lagi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali, 30, positif Covid-19 buat kali kedua, semalam dan terpaksa menghentikan seketika jadual kerjanya yang sudah diatur.

Nabila berkata, dia sedih dengan dugaan itu apatah lagi ia memberi kesan kepada ramai pihak terutama berkaitan kerjanya.

"Assalamualaikum WBT. Dukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa saya dijangkiti virus Covid-19 buat kali yang kedua. Banyak kerja terpaksa saya tangguh atau batal untuk 10 hari akan datang.

"Saya ingin memohon maaf kepada pihak penganjur atau sesiapa yang terkesan dengan berita ini. Mohon doakan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Penyanyi lagu Peluang Kedua itu turut menggesa orang ramai terus menjaga keselamatan diri sebaiknya dan mohon dijauhkan daripada virus itu.

"Covid-19 adalah benar semuanya dan ia masih berada di luar sana. Terus jaga keselamatan," katanya.

Semalam, keputusan ujian Covid-19 dibuatnya mengesahkan Nabila positif.

Pengurusnya Mohd Asrul Abdul Talib berkata, Nabila bagaimanapun berada dalam keadaan baik.

"Sekarang dia kena kuarantin di rumah selama 10 hari mengikut arahan yang dikeluarkan. Buat masa sekarang, dia cuma rasa pening kepala tetapi gejala lain belum ada.

"Sepatutnya esok dia kena jayakan satu persembahan. Bagaimanapun, perkara ini tidak dijangka dan kami mohon maaf dengan semua penganjur yang terkesan," katanya.

Sebelum ini, Nabila turut disahkan positif virus itu pada April tahun lalu.

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 3:03pm
d