rap

Sharifah Sakinah dah kahwin

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai status hubungan pelakon, Sharifah Sakinah dengan jejaka mat salih bernama Michael Hansen akhirnya terjawab apabila pelakon itu mengumumkan sudah sah bergelar suami isteri.

Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 32, berkata, atas beberapa faktor peribadi dia terpaksa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan orang ramai.

"Disebabkan ramai bertanya, ya kami sudah berkahwin. Kepada mereka yang hairan kenapa kami tak maklumkan mengenai perkahwinan ini adalah kerana isu peribadi dan hal agama.

"Kami memilih untuk tidak menghebahkan sebelum ini, tapi sekarang baru kami bersedia untuk kongsi. Tak payah tanya lagi okay. Terima kasih semua," katanya menerusi hantaran terbaharu di Instagram.

Biarpun pengumuman itu mengejutkan ramai pihak, namun adik kepada penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahira ini tidak menyatakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan jejaka berasal dari Sweden itu.

Pada 5 Mac tahun lalu, Sakinah memaklumkan sudah bertunang dengan teman lelakinya yang dikenali sejak 2020.

Malah, Sakinah juga mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga pada Mei tahun berkenaan bersempena tarikh ulang tahun kelahirannya dan Michael, 42.

Dalam pada itu, Sakinah turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pusat kecergasan khas untuk wanita yang ditubuhkan mereka sejak setahun lalu.

"Selamat ulang tahun pertama Hemmafit! Teringat lagi masa mula-mula 'start' dulu sebagai Fitnessakinah dengan niat nak tolong orang, buat kelas tanpa caj.

"Kemudian pandemik melanda dan lebih ramai orang perlu bekerja dari rumah, makin lama makin bertambah ahli dan akhirnya Hemmafit ditubuhkan.

"Tambah modal, peralatan, jurulatih dan pakar nutrisi dan komitmen daripada 'equipments' (peralatan), 'trainers' (jurulatih), komitmen daripada Sakinah setiap hari.

"Terima kasih rakan kongsi dan suami atas sokongan dan logistik Hemmafit sejak hari pertama kelas kita bersama," katanya.

Sakinah pernah berkahwin dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015 namun hubungan mereka terlerai selepas disahkan bercerai pada Mei 2020.

Hasil perkahwinan itu, Sakinah mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun.

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 10:11pm
d