rap

Masalah 'anxiety', Mawar Rashid amal baca al-Quran

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Mawar Rashid mendedahkan berdepan dengan masalah 'anxiety' dan serangan panik yang teruk sejak tahun lalu. 

Mawar berkata, disebabkan perkara itu dia bercadang berjumpa pakar psikiatri untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dihadapi. 

"Sebenarnya saya sudah beberapa kali diserang 'anxiety'.  Saya mula perasan mengalami gangguan ini ketika mengandungkan anak kedua, Raden Seri Rosabella Cinta.

"Pernah satu masa saya tiba-tiba menangis dan kemudian mula sesak nafas. Ingatkan masalah yang berlaku ini normal tapi beberapa kali insiden ini berlaku walaupun Cinta kini sudah berusia setahun. Jadi saya bercadang untuk berjumpa pakar psikiatri sebagai alternatif untuk mengenal pasti penyakit yang saya hidapi ketika ini.

"Tidak dinafikan jadual kerja yang terlampau padat dan tiada masa untuk diri sendiri menyebabkan saya mungkin dapat gangguan ini. Jadi sekarang ini saya memang akan pastikan ada masa untuk diri sendiri walau sibuk macam mana sekalipun," katanya.

Menurut Mawar, dia bersyukur kerana dikelilingi suami yang juga pelakon Raf Yaakob dan ahli keluarga yang positif.

"Alhamdulillah Raf sentiasa ada di sisi apabila saya diserang 'anxiety'. Dialah yang selalu tenangkan saya dan beri kata-kata positif. Raf selalu ingatkan saya untuk rajin membaca al-Quran dan berzikir. Katanya dua amalan ini adalah ubat terbaik untuk merawat masalah ini. 

"Nasihat yang diberikan Raf itu sememangnya betul dan Alhamdulillah saya jadi lebih kuat sekarang dan dapat melawan penyakit ini perlahan-lahan. Gara-gara gangguan ini, saya juga tiada tidak selera makan dan ada kalanya saya banyak mendiamkan diri," katanya.

 

 

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 3:28pm
d