rap

'Syurga untukmu Rayan'

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Khabar duka mengenai kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Rayan Oram yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter dan ditemukan sudah tidak bernyawa memberi kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Tidak terkecuali beberapa selebriti tanah air turut berkongsi rasa pilu di media sosial ketika usaha menyelamatkan Rayan yang mengambil masa lima hari dan berakhir tragedi.

Pengacara popular, Neelofa meluahkan rasa sedih apabila mendapat tahu mengenai pemergian Rayan dan mendoakan agar keluarga arwah dapat melalui ujian itu. 

"Sebagai seorang yang baru merasa menjadi seorang ibu kepada anak lelaki, berita ini sangat memberi kesan yang berat kepada diri saya sepanjang hari, semalam. 

"Jadi sakit kepala bila tengok hantaran Rayan. Tak sanggup dan tak boleh bayangkan perasaan keluarga anak syurga ini. Semoga Allah mudahkan keluarganya untuk lalui ketentuan-Nya dan menanti Rayan di pintu syurga," tulisnya di Instagram Story. 

Dalam pada itu, pelakon jelita yang kini hamil enam bulan, Mira Filzah turut berkongsi beberapa hantaran mengenai usaha pencarian sehingga akhirnya Rayan ditemukan meninggal dunia. 

"Syurga untuk kamu sayang," tulisnya ringkas. 

Selain Neelofa dan Mira, ramai selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ayda Jebat, Indah Ruhaila, Jasmin Hamid, Yana Samsudin, Amira Othman, Sheera Iskandar dan Che Puan Sarimah Ibrahim yang mendoakan agar Rayan ditemukan selamat di media sosial. Namun Allah lebih menyayanginya. 

Rayan terjatuh dan terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa di kampungnya di Ighran, Maghribi yang terletak di kawasan bukit dekat Chefchaouen dan usaha menyelamatkannya dijalankan sejak itu.

Lewat malam Sabtu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas dia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.

 

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 4:37pm
d