rap

Shidee kemalangan ketika nak ke surau solat Asar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Saya tak sedar apa-apa dan hanya tahu saya kemalangan apabila berada dalam ambulans."

Demikian kata penyanyi Shidee yang terbabit dalam kemalangan di kawasan kediamannya di PPR Pinggiran Bukit Jalil, semalam.

Kemalangan berlaku ketika Shidee, 62, atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab sedang menuju ke surau berdekatan kediamannya untuk menunaikan solat Asar.

Peserta Gegar Vaganza 8 ini yang juga bilal di surau terbabit berkata, dia sukar mengingati samada dirinya terjatuh atau dilanggar oleh orang lain dalam kejadian terbabit.

"Saya pergi ke surau menaiki skuter elektrik. Kalau nak dikatakan saya jatuh, mestilah saya tahu perkara ini.

"Tapi ini sedar-sedar saya dalam ambulans dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.

"Sekarang pun saya masih dalam keadaan lemah dan alami luka kecil. Doktor kata keadaan saya okey tapi apabila bangun saya pening dan rasa berpusing," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ingin melihat perkembangan dirinya lebih lanjut sebelum kembali bertemu doktor.

"Tapi rasanya saya kena pergi juga buat pemeriksaan sekali lagi kerana saya batuk keluar darah dan ini merisaukan saya.

"Semalam doktor buat imbasan sinar X sebanyak dua kali dan kata saya okey tiada luka dalaman.

"Namun apabila balik rumah, baharulah saya batuk dan keluar darah. Doktor tak tahu berkenaan perkara ini," katanya yang dibenarkan pulang ke rumah malam tadi.

Terdahulu, berita kemalangan ini dimaklumkan oleh pengurus Azan Scan, Fuad Misbah kepada Harian Metro.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 12:21pm
d