rap

Megat Rahim dah negatif, kembali ke pentas Big Stage 2022

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Megat Rahim, 20, yang dijangkiti Covid-19 kembali membuat persembahan pertama pada konsert minggu kedua Big Stage 2022, Ahad ini.

Megat berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang gejala sewaktu dijangkiti virus itu sekali gus tidak menganggu kesihatan dirinya.

"Insha-Allah, Ahad ini bakal menyaksikan persembahan pertama saya pada program Big Stage. Saya sudah melakukan beberapa persiapan seperti mengikuti kelas vokal secara persendirian dan kelas yang dijalankan pihak produksi. 

"Alhamdulillah, sejak disahkan positif Covid-19 pada 31 Januari lalu saya tidak berdepan sebarang gejala, malah saya berada dalam keadaan yang baik sepanjang tujuh hari menjalani kuarantin di rumah. 

"Hari ini adalah latihan penuh. Saya berharap segala urusan dipermudahkan dan dapat membawakan lagu yang diberikan sebaik mungkin," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Megat, dia gementar untuk membuat persembahan pada konsert minggu kedua Big Stage 2022 namun akan cuba untuk mengawal perasaan gemuruh dan tekanan. 

"Apa yang menjadi kerisauan saya minggu ini adalah tugasan lagu Evo nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne iaitu bukan genre yang pernah saya bawakan. 

"Muzik hip hop atau rap adalah genre baru untuk saya, tapi saya akan cuba membuat persembahan dengan sehabis baik. 

"Ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan bakat nyanyian. Walaupun peserta lain semuanya hebat tapi saya enggan sia-siakan peluang diberikan," katanya. 

Megat sepatutnya membuat persembahan pada konsert minggu pertama Big Stage 2022 minggu lalu namun tidak dapat menghadirkan diri kerana disahkan positif Covid-19.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 1:27pm
d