rap

TV9 panjangkan slot kanak-kanak, siar animasi baharu

Oleh Muhamad Shaifullah Tayep

ANIMASI tempatan kini semakin mendapat perhatian ramai bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tempatan malahan juga di luar negara.

Justeru, saluran TV9 memanjangkan masa bagi slot kanak-kanak iaitu Jaguh Kartun dari jam 5 petang hingga 7 malam.

Pendekatan ini bersesuaian dengan TV9 yang sangat sinonim sebagai destinasi kartun terbaik sejak dulu lagi, antaranya, CatDog, Wonderpets, Spongebob Squarepants dan Upin Ipin.

Pelbagai animasi tempatan berkualiti disusun khusus buat penonton ciliknya seperti Knowsy Nina (Isnin dan Selasa, 5 petang), Supertots (Rabu dan Khamis, 5 petang), Supersquad (Jumaat hingga Ahad, 5 petang), Cingkus Blues (Isnin hingga Khamis, 5.30 petang), Soccer Bugs (Jumaat hingga Ahad, 5 petang), Boboiboy (setiap hari, 6 petang) dan Ejen Ali (setiap hari, 6.30 petang).

Terbaharu, TV9 menyiarkan Little Ammar (Rabu dan Khamis, 6.30 petang) dan bakal menyusul tidak lama lagi, Mina Mila (mulai 28 Mac, Isnin dan Selasa, 6:30 petang).

Little Ammar adalah kartun bersiri selama tiga minit yang menampilkan seorang kanak-kanak lelaki comel bersama arnab kesayangannya, Rapbit.

Little Ammar akan berkongsi dengan penonton ciliknya lagu kanak-kanak, zikir dan video pembelajaran yang mudah difahami.

Manakala, Mina Mila pula adalah kakak kembar seiras kepada Ammar dan mempunyai personaliti yang berbeza.

Animasi ini menyasarkan penonton berusia antara lima hingga sembilan tahun dan keletah seharian mereka cukup melucukan dan pastinya membuat penonton terhibur.

Ketua Pegawai Operasi TV9 Sherina Nordin, berkata kolaborasi antara TV9 dan Durioo dilihat tepat pada waktunya kerana kanak-kanak masa kini lebih cenderung untuk menonton televisyen di rumah ketika situasi epidemik yang melanda negara.

"Animasi ini sungguh menarik kerana menggunakan warna-warna ceria yang dapat menarik minat kanak-kanak, di samping melodi yang mudah merangsang minda mereka serta mesej keagamaan yang mudah dipelajari.

"Tidak dinafikan kanak-kanak kini lebih cepat mempelajari sesuatu menerusi televisyen dan dua animasi ini iaitu Little Ammar dan Mina Mila sememangnya sesuai untuk tontonan seisi keluarga," katanya.

Jangan ketinggalan untuk menonton animasi menarik Little Ammar pada setiap Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang manakala Mina Mila, mulai 28 Mac nanti, setiap Isnin dan Selasa, jam 6:30 petang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial.

Disiarkan pada: February 14, 2022 @ 6:25pm
d