rap

'Nak berhijrah mudah, tapi istiqamah bukan senang' - Fasha Sandha

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Mereka suntik semangat buat saya untuk projek ini. Insya-Allah akan datang saya akan berhijrah. Berkat saya jadi model telekung ini, secara perlahan-lahan saya akan ke arah itu (bertudung). Keinginan itu sudah ada, cuma masa yang akan menentukan."

Demikian kata pelakon Fasha Sandha yang terpilih sebagai wajah untuk kempen produk telekung sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Fasha berkata, walaupun dia belum bertudung, pemilihannya untuk projek ini membuatkan dia teruja. "Saya tanya mereka bolehkah saya buat kempen ini kerana saya masih belum bertudung, namun mereka beri kata semangat hingga buat saya yakin menerimanya.

"Secara jujurnya saya bertanya kepada pengurusan saya adakah orang akan persoalkan status saya yang belum bertudung. Namun, mereka jawab tak apa kerana ini boleh beri suntikan semangat di mana satu hari nanti saya akan berhijrah. Netizen boleh cakap apa saja yang mereka nak asalkan kita tahu diri kita," katanya.

Menurutnya, dia juga sebenarnya sudah mempunyai keinginan untuk bertudung.

"Namun pada saya, biarlah ia dilakukan dari hati. Lagipun banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Untuk berhijrah memang mudah, tetapi untuk istiqamah itu bukanlah perkara senang. Memang perkara sebegitu yang paling saya takuti terjadi ke atas diri saya," katanya.

Selain daripada suami, Fasha juga sangat menghargai setiap doa daripada peminat-peminat yang ingin melihatnya berhijrah.

"Saya berpuashati dengan penjelasan terperinci oleh pengasas produk, Sharifah Nabilla Al-Yahya berkenaan kempen ini. Mereka tidak kisah sama ada untuk memilih artis atau tidak. Lagipun telekung ini dipakai semua wanita untuk mengerjakan solat," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 12:33pm
d