rap

Aaron Aziz cabar diri lakon watak 'lelaki songsang'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "lsteri saya okay, malah dia sebenarnya yang paling suka dan tak sabar nak tengok lakonan saya bersama Gambit dalam drama ini. Begitu juga, anak-anak bersikap terbuka kerana ini hanyalah lakonan.

Demikian kata pelakon terkenal kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz, 45, yang mencabar diri melakonkan watak 'lelaki songsang' dalam drama terbaharu, Suami Lelaki Pendosa disiarkan slot Samarinda TV3.

Aaron ditemui pada sidang media secara virtual baru-baru ini berkata, dia bertuah kerana isterinya, Datin Diyana Halik bersikap terbuka dan okay apabila dirinya sedia menerima tawaran berkenaan.

"Isteri saya turut sama teruja nak menyaksikan lakonan sebagai Dean Ilyas dalam drama ini. Dia memang bagi sokongan penuh kerana percaya ini antara cabaran baharu dalam kerjaya lakonan saya.

"Walaupun sedar ia watak agak sensitif, tapi kami faham ini sekadar lakonan semata-mata dan masih ada mesej ingin disampaikan kepada penonton terhadap realiti kehidupan sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Aaron atau nama sebenar Aaron Mustapha Aziz juga bapa tiga anak berkata, dia berharap penonton dapat memahami perjalanan cerita drama ini terlebih dulu serta memberikan maklum balas sebaiknya.

"Saya harap penonton pun akan bersikap terbuka, sebab macam yang kita tahu isu 'homoseksual' ini bukan satu perkara baru. Ia sememangnya ada berlaku di sekeliling masyarakat kita.

"InsyaAllah, saya berharap drama ini akan diterima baik oleh penonton. Malah, apa yang dipaparkan juga tidak keterlaluan dan kami (pelakon) sudah melakukan sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu, drama sebanyak 28 episod ini diarahkan oleh Eyra Rahman yang diadaptasi daripada novel tulisan Umie Nadzimah berjudul Imamku Lelaki Pendosa.

Selain Aaron, drama ini turut dibintangi pelakon seperti Sophia Albarakbah, Gambit Saifullah, Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof dan ramai lagi.

 

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 12:01pm
d