rap

Cabaran 12 jam Syria terlaksana

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Biarpun impian untuk mengutip dana sebanyak RM1 juta dalam kempen Cabaran 12 Jam Syria pada Jumaat lalu tidak berjaya, namun kumpulan nasyid Inteam tetap berpuas hati dengan jumlah kutipan diperoleh mereka.

Tiga anggotanya iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril yang terbabit dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri ke-10 di utara Syria itu, mencabar diri mereka tinggal dalam sebuah khemah di kem pelarian untuk merasai sendiri suasana cuaca sejuk dan sukar di sana.

Siapa sangka selama 12 jam melalui cabaran berkenaan, mereka berasa amat gembira kerana usaha murni dilakukan itu akhirnya berjaya mengutip sumbangan RM840,000 untuk tujuan terbabit.

"Cabaran yang dibuat ini berlangsung dari jam 11 pagi sehingga 11 malam (waktu Malaysia) atau jam 6 petang (waktu Syria).

"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dengan jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan itu untuk disumbang kepada kira-kira 84,000 pelarian di Syria.

"Walaupun hasrat kami tak tercapai untuk sasaran kutipan RM1 juta, tapi sebenarnya kami bertiga tetap tidak kecewa.

"Malah, kami cukup bangga serta berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada mereka yang menonton 'live' cabaran 12 jam itu di Facebook rasmi Inteam," kata Hazamin.

Menurutnya, mereka yakin dalam tempoh sebelum pulang ke tanah air nanti pasti jumlah sumbangan itu akan terus bertambah.

"Masih ada penderma yang menyumbang dan Insya-Allah nilai yang sudah dikumpul itu akan bertambah dan mungkin kita boleh mencapai angka RM1 juta seperti yang dihasratkan.

"Walaupun kutipan ketika 'live' itu tidak mencapai sasaran, tapi bagi kami cabaran berkenaan adalah satu usaha yang berjaya dan yang pasti kami dapat membantu 84,000 pelarian Syria.

"Orang kata daripada tiada langsung, sekurang-kurangnya dengan hasil kutipan yang dapat dikumpul itu kami masih dapat bantu mereka. Kami amat terharu atas sokongan dan sumbangan yang diberikan pelbagai pihak.

"Ada juga yang menyumbang nilai besar seperti RM20,000 dan RM75,000. Bahkan, mereka yang tampil menyumbang RM10 hingga RM100 juga amat bermakna bagi kempen 12 jam Syria ini," katanya lagi.

Inteam juga berterima kasih kepada media yang memainkan peranan besar dalam membantu mereka menyebarkan maklumat mengenai kempen ini sehingga ia berjaya direalisasikan.

Dalam perkembangan lain, Inteam juga mengambil inisiatif dan peluang melakukan penggambaran muzik video single terbaharu mereka berjudul Selimut Kasih di kem pelarian Syria sebelum keluar meninggalkan kawasan terbabit.

Selain itu, mereka juga akan ke Istanbul, Turki untuk memenuhi jemputan kedutaan Malaysia serta mengambil kesempatan juga melakukan penggambaran video sebelum pulang ke tanah air esok.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 6:48am
d