rap

Jamal Abdillah timang anak kelima, 'baby boy'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 63, menyambut kelahiran anak kelimanya, Iskandar Rayyan Yamani apabila isterinya, Datin Zai Izzati, 26, selamat melahirkan anak mereka pada jam 2.27 petang ini, di sebuah pusat perubatan.

Jamal menerusi mesej kiriman WhatsApp berkata, bayi lelakinya dilahirkan dengan berat 2.84 kilogram, lebar 52 sentimeter dan lilitan kepala 33 sentimeter. 

Dia yang dihubungi Harian Metro berkata, Iskandar Rayyan Yamani dilahirkan menerusi pembedahan.

"Kami semua dah bersedia dari awal. Nampaknya, bayi pun tiada cacat apa-apa dan dalam keadaan sihat.

"Begitu juga isteri baik-baik saja. Syukur, alhamdulillah.

"Kepada semua yang memberi ucapan tahniah dan doa, saya dan isteri mengucapkan terima kasih," katanya.

Terdahulu Jamal memberitahu isterinya sepatutnya dijangka bersalin pada 28 Februari, namun dipercepatkan kepada hari ini kerana tarikhnya yang cantik. 

Anak pertamanya dengan Zai iaitu Nur Azura Yamani, kini berusia tiga tahun, lahir pada 10.10.2019. Manakala anak kedua, El Isaac Yamani atau Zack, 2, pula lahir pada 11.11.2020. 

Jamal bernikah dengan Zai Izzati pada 1 April 2017. Selain itu, dia juga memiliki dua anak hasil perkahwinan lalu iaitu Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.

 

 

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 4:34pm
d