rap

'Buat apa saya nak 'shopping' di AS pulak?' - Ashira

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Sedih itu memang sedihlah tapi saya pun tak tahu nak cakap. Kenapa dan apa yang marah sangat pada saya ini?" kata penyanyi Ashira selepas usahanya mengumpul dana berjumlah RM30,000 untuk menyertai Championship of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat pada Julai nanti mendapat kecaman hebat netizen.

Ashira, 37, atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Aziz pada Ahad lalu berkata, dia memerlukan wang sebanyak itu untuk persiapan dan perbelanjaan menyertai pertandingan itu di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun ia menjadi perdebatan dalam kalangan netizen yang menyifatkannya sebagai membuang masa dan sebaiknya memikirkan untuk kelangsungan hidupnya.

"Biarlah orang nak kecam apa yang saya buat. Mulut manusia mana boleh tutup. Itu bukan simpati namanya kerana kalau simpati tak perlulah cakap begitu.Banyak lagi cara seperti mesej terus di Instagram dan tanya saya apa cerita sebenarnya. Ini, tanpa tahu usul periksa terus kecam dengan benda yang tak betul. Ada pula yang kata saya nak duit itu untuk pergi shopping (membeli-belah). Astagfirullahalazim. Takkanlah saya nak guna duit orang untuk 'shopping'. Untuk apa?" katanya kepada Harian Metro.

Ashira sebaliknya meminta netizen bertanya secara elok menerusi mesej dan bukannya terus mengeluarkan kecaman di media sosial.

"Boleh kalau nak berkata-kata tapi kenalah tahu perkara dahulu. Ini tak, tahu-tahu terus hentam saya. Ada yang kata saya minta duit orang ramai. Bila masa saya buat begitu? Ceritanya, saya sering minta duit orang. Tak pernah lagi dalam hidup, saya minta duit dengan orang walaupun dalam akaun saya hanya ada RM10," katanya.

Ashira berkata, jika betul dakwaan itu, setiap kali ditemubual dia pasti meminta media memasukkan sekali nombor akaunnya dalam artikel.

"Tiada pula saya buat begitu. Mereka sebenarnya tak faham jalan untuk saya cari dana ialah menerusi persatuan, pertubuhan, badan korporat ataupun individu yang memang khusus menaja untuk situasi ini. Saya tahu mereka tak faham tapi janganlah terus nak hentam begitu. Kan dah jadi perkara tak elok. Jadi tiba-tiba saya macam orang jahat pula, selalu minta duit orang dan tak fikir perasaan orang lain. Siapa yang tak fikir perasaan siapa sekarang?" katanya.

Menurutnya, masyarakat tidak tahu apa yang dilalui setiap hari dan susah payahnya melalui bidang seni.

"Ini impian saya dan minat saya. Bila kita minat sesuatu mestilah kita nak gapai. Ada yang kata, carilah duit sendiri. Memang saya cari sendirilah sekarang. Saya akui mental terganggu sekarang. Apa yang berlaku tak menghalang saya untuk cari dana walaupun saya teruk kena begini. Saya memang akan terus berusaha dan tak perlu putus asa kerana benda-benda begini," katanya.

Isteri kepada penyanyi Bad Indigo ini berkata, dia akan terus berusaha namun reda sekiranya tiada rezeki ke Amerika Syarikat.

"Tapi dalam hati, saya tak nak putus asa kerana ini harapan orang yang pilih saya dan percaya bakat saya. Saya akan cuba sedaya upaya cari dana. Ada beberapa pihak yang mesej saya beritahu cara untuk itu. Ada peluang untuk saya ke sana. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya," katanya yang mengakui sudah empat hari mengalami migrain akibat perkara ini.

Selain Ashira, peserta lain ialah Pija Mentor, Thalia Rasul dan Erul Samah.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 4:41pm
d