rap

Ariz Forteen aktif buat kek

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Forteen, Ariz Lufias, 33, puas apabila kini bergelar pembuat kek berjaya sejak memulakan perniagaan itu pada hujung 2020 lalu.

Ariz atau nama sebenarnya Saiful Ridzuan Abdul Hamid berkata, paling menggembirakan apabila kek hasil tangannya turut mendapat pujian luar biasa di media sosial dan pelanggan yang membeli.

"Saya bersama ahli keluarga lain memulakan perniagaan Dapur Bik Senah pada penghujung 2020. Itupun tak sengaja kerana awalnya saya cuma buat kek untuk hari jadi kakak.

"Selama ini pun, saya cuma pandai buat biskut atau 'brownies' dan baru belajar membuat kek. Saya ada mengambil kelas dalam talian untuk belajar lebih lanjut pembuatan kek.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah mampu buat sendiri termasuk mencipta perhiasannya dengan sangat teliti. Walaupun agak penat, tapi rasa itu serta-merta hilang apabila pelanggan puas hati dengan hasilnya," katanya.

Menurut Ariz, pendapatan diperoleh juga sangat berbaloi kerana tidak putus mendapat permintaan tempahan. Malah, sejak kebelakangan ini dia banyak mendapat tempahan kek untuk perkahwinan.

"Sejak perniagaan semakin berkembang, saya lebih dahulukan tempahan kek kahwin kerana pendapatannya lebih lumayan. Kek untuk hari jadi pun masih buat tapi biasanya yang ringkas saja.

"Saya menerima tempahan paling lewat dua minggu sebelum acara. Ini kerana saya perlu masa yang cukup untuk menyiapkan sendiri perhiasan serta keseluruhan kek itu dengan terperinci," katanya.

Menjalankan perniagaan dari rumah, Ariz mengakui dia sangat seronok apabila dapat fokus dengan lebih teliti.

Mengakui selesa tidak keluar rumah, waktunya tidak pernah senggang sejak jadi pembuat kek.

"Siapa yang kenal saya, mereka pasti tahu saya bukan jenis suka merayau dan melepak. Selepas mula membuat kek, masa saya di rumah pun jadi lebih sibuk dan terisi," katanya.

Sejak dimulakan, perniagaan keknya itu semakin mendapat sambutan luar biasa.

Instagram @dapurbiksenah sudah memiliki lebih 10,500 pengikut dan tontonan tertinggi video keknya adalah lebih 509,300 di TikTok.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 8:15pm
d