rap

Bersukan cara Siti Nurhaliza lepas tekanan, jaga kesihatan

Oleh Georgie Joseph 

Kuala Lumpur: Cukup minat bersukan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, memasang impian dapat menganjurkan acara sukan khas untuk artis suatu hari nanti.

Siti berkata, hasrat itu sebenarnya sudah dipendam lama kerana beliau tahu ramai dalam kalangan artis memiliki bakat sukan yang cukup mengagumkan.

"Sebelum ini saya pun pernah menyertai aktiviti sukan yang dibuat untuk rakan-rakan artis. Ramai sebenarnya rakan artis yang pandai bermain badminton, bola jaring, dan sebagainya.

"Ada bakat atlet dalam diri masing-masing, cuma tinggal kita tiada masa untuk menunjukkan bakat itu. InsyaAllah mana tahu saya akan buat acara sukan untuk artis suatu hari nanti," katanya.

Penyanyi nombor satu negara itu ditemui sewaktu acara perlawanan badminton bersama bekas pemain profesional negara Tan Boon Heong di Shuttle in the Dark, Menara Berkembar Petronas, di sini, semalam.

Menurut Siti, beliau sangat seronok dapat terbabit dalam acara sebegitu yang baginya cara terbaik lepaskan tekanan serta menjaga stamina.

"Saya suka kalau dapat buat banyak aktiviti bersukan macam ini tapi itulah kadang-kadang masa. Kalau berpeluang, pasti saya rancang setiap bulan.

"Bersukan adalah satu daripada cara saya lepaskan tekanan dan dapatkan tubuh badan lebih sihat. Secara tak langsung, minda pun jadi lebih tenang lepas bersukan.

"Saya sebenarnya tak puas lagi main badminton dengan Tan Boon Heong. Tapi disebabkan ini majlis, jadi kita kena ikut aturcara yang disediakan. 

"Mungkin selepas ini kita boleh buat lebih banyak aktiviti sukan badminton. Lagi pun aktiviti kita anjurkan ini hanya suka-suka saja," katanya.

Tambah Siti, beliau sebenarnya seronok bila dapat berkumpul dan melihat ramai artis yang boleh dikata mempunyai latar belakang aktiviti sukan mengagumkan.

Mereka termasuk penyanyi baharu Syahmi Irfan yang turut ikut serta pada acara terbabit.

"Syahmi sendiri adalah junior pasukan badminton negara, cuma sekarang ini dia fokus bidang hiburan sebagai penyanyi. InsyaAllah lepas ini kita rancang untuk buat aktiviti bersukan dengan lebih ramai lagi artis," katanya.

Pada acara itu, Siti turut mengumumkan Tan Boon Heong sebagai duta minuman sarang burung Beaunest keluaran Beausiti. 

 

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 2:24pm
d