rap

Keadaan Haeriyanto Hassan semakin baik, bukan terkena angin ahmar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon Haeriyanto Hassan yang kini menerima rawatan di Hospital Ampang dimaklumkan semakin baik dan dia juga disahkan bukan terkena serangan angin ahmar seperti didakwa semalam.

    Adik iparnya, penyanyi Oja ketika dihubungi berkata, Haeriyanto mengadu masih sakit kepala, namun doktor mengesahkan dia bukan terkena serangan angin ahmar.

   "Syukur, abang ipar tak terkena serangan angin ahmar. Cuma bahagian kiri badannya hanya terlalu lemah disebabkan darah beku di kepala, manakala bacaan darah menurun kepada 145/90. Dia juga masih menggunakan tiub untuk makan.

   "Dia juga kini ditempatkan di Zon Kuning dan sebarang lawatan tidak dibenarkan buat masa ini.

   "Selain itu, doktor juga sudah menghentikan ubat secara Infusion (menggunakan salur darah) dan beri ubat makan seperti biasa," katanya.

   Terdahulu Haeriyanto yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mat Despatch arahan Rashid Sibir sekitar 1998, dikejarkan ke Hospital Ampang pagi semalam.

  Dia sepatutnya perlu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan, tetapi doktor di Hospital Ampang mahu memantau keadaan kesihatannya terlebih dulu.

   Oja atau nama sebenarnya, Daninaz Huza Daud berkata, kakaknya, Afrinas Donny menghubunginya pagi kelmarin meminta datang ke rumah untuk melihat keadaan Haeriyanto yang tidak boleh bergerak di ruang tamu. 

   "Selama ini abang ipar saya sihat dan tidak pernah ada darah tinggi, namun beberapa hari sebelum kejadian dia sering mengadu sakit kepala," katanya.

   Oja meminta agar semua pihak mendoakan kesihatan Haeriyanto agar tidak perlu menjalani pembedahan.

   "Bagaimanapun, saya dan kakak tak dapat nak balas pertanyaan semua yang bertanyakan mengenai abang Haeriyanto.

   "Tapi daripada situ kita nampak yang dia memang disayangi ramai dari yang kenal hingga yang tak pernah berjumpa pun.

   "Mungkin kerana sifat dia memang baik dengan semua orang. Kakak saya ambil kesempatan sampaikan jutaan terima kasih buat semua yang mendoakan suaminya," katanya. 

   Anak-anak hasil perkahwinan Haeriyanto dengan Afrinas ialah Irfaan Fansuri, 13, Insyirah Fatin, 12, dan Imran Firman, 10. 

   Dalam pada itu Oja berkata, adik Haeriyanto iaitu pelakon Rima Melati yang kini menetap di Indonesia pulang ke Singapura untuk menemani ibu mereka sambil memberi kata-kata semangat. 

 

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 3:39pm
d