rap

Impian Zara Zya beli Porsche 718 Boxster tercapai

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Impian pelakon Zara Zya, 37, untuk membeli dan memiliki kereta jenis Porsche 718 Boxster tercapai selepas lebih setahun mengumpul wang.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia puas apabila berjaya memiliki kereta mewah idamannya itu yang berharga kira-kira RM400,000.

"Saya memang suka letakkan sasaran dan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang benar-benar saya mahukan. Saya kumpul wang sejak setahun lalu bagi membeli kereta ini.

"Syukur dan gembira sangat kerana saya memang mahukan kereta ini kerana ia lain daripada yang lain. Saya pun kena juga fikir soal kumpul wang ke depan lagi untuk kos penyelenggaraan dan alat gantinya," katanya.

Zara berkata, tujuan utamanya berkongsi perkara itu adalah untuk membuktikan bahawa setiap orang mampu mencapai sasaran jika berusaha keras.

"Bagi saya, ini satu penghargaan hasil titik peluh selepas penat bekerja. Terpulanglah jika ada yang kurang senang dengan perkongsian ini kerana orang tetap bercakap.

"Sesiapa yang kenal rapat saja pasti tahu sasaran saya dan turut mengucapkan tahniah kerana berjaya mencapai impian. Saya anggap ini pencapaian yang cukup bermakna secara peribadi juga," katanya.

Zara yang kini memiliki syarikat pembinaan juga tidak berniat riak, sebaliknya mahu mengabadikan pencapaian itu sebagai kenangan manis dalam media sosial.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 7:48pm
d