rap

Rahman B meninggal dunia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penggiat seni bangsawan tanah air, Rahman B, 87, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 4.43 petang, hari ini selepas menerima rawatan akibat Covid-19.

Difahamkan, Rahman atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abu Bakar sudah seminggu dimasukkan ke HKL akibat Covid-19.

Cucu Allahyarham, Husin ketika dihubungi berkata, datuknya meninggal dunia dalam tempoh pasca Covid-19.

"Arwah sudah sembuh daripada Covid-19. Pemeriksaan doktor selepas itu mendapati ada pendarahan beku di paru-paru dan ada komplikasi buah pinggang.

"Jenazah akan dibawa dari HKL ke Masjid Jamek Kampung Baru pagi esok untuk dimandi dan dikafan.

"Kami juga memberi peluang kepada rakan-rakan dan sesiapa yang mahu memberikan penghormatan terakhir pada jam 10.30 pagi," katanya.

Menurutnya, jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur dan seterusnya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang untuk dikebumikan.

Nama Rahman B tidak tidak perlu diperkenalkan lagi dalam seni pementasan bangsawan tanah air.

Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Kapar, Klang adalah anak kepada pasangan pelakon bangsawan, Abu Bakar Saleh atau Bakar M dan ibunya, Kasminah Taib atau dikenali sebagai Minah B.

Rahman pernah bertugas sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk mencungkil bakat baru dalam pementasan bangsawan.

Atas jasanya memperjuangkan pementasan bangsawan juga, beliau dianugerahkan sebagai Seniman Negara pada 2004 yang juga penerima keenam anugerah terbabit.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 8:12pm
d