rap

Ayie Floor 88 mula terfikir nak buka gerai tepi jalan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Floor 88, Ayie Elham yang kini mengusahakan Ayie Elham Cafe bersama isterinya, Nur Natasha Ahmad Nawawi mula terfikir untuk membuka gerai tepi jalan bagi mengurangkan kos.

Ayie berkata, dia dan isteri bercadang untuk menjual makanan dari Tawau, Sabah iaitu nasi lalap di sekitar Maxim, Sentul, di sini.

"Sekarang saya macam nak merasa berniaga di tepi jalan, buka khemah, sempoi. Berniaga tepi jalan dengan orang ramai jual nasi lalap," katanya.

Menurutnya, ia satu perkara mudah kerana tidak perlu untuk fikirkan kos sewa kedai seperti yang dilakukannya sekarang iaitu membuka restoran.

"Hanya buat lesen dan kita pacak khemah tepi jalan. Orang lagi suka. Saya sendiri pun suka beli makanan tepi jalan. Mengapa tidak saya cuba? Kita tak payah nak fikir kita ini artis, orang kenal ke apa sebab sekarang ini semua orang tengah 'struggle' tak kisahlah apa kerjaya dia.

"Jadi saya dan isteri ambil pendekatan nak meniaga tepi jalan. Ia memudahkan kerja kita, tak payah fikir kos nak bayar bil elektrik, bil air dan sewa kedai," katanya.

Ayie berkata, lokasi di Maxim Sentul itu sesuai kerana di situ ada banyak gerai dibuka di tepi jalan.

"Nasi lalap seperti ayam penyet. Ia sangat popular di Tawau. Bezanya dengan ayam penyet cuma pada sambal dan ayam," katanya.

Baginya, panas atau hujan bukan soal utama untuknya mencari rezeki. Apatah lagi isterinya kini hamil empat bulan.

"Semua orang tengah susah. Kita pun tak terlalu stabil dan tiada untung lebih. Kafe pun baru nak bernafas semula," katanya.

Terdahulu, Ayie dan isterinya membuka Ayie Elham Cafe pada 2020 di Setapak dengan kos kira-kira RM90,000.

Dalam masa sama, Ayie bersyukur kerana perniagaan kafe itu semakin pulih sekarang.

"Pelanggan pun makin meningkat dan jualan pun makin okay. Cuma bimbang bila kes Covid-19 makin naik, akan ada sekatan pergerakan seperti dulu.

"Saya harap tidak akan ada lagi kerana sebelum ini kami memang sukar tetapi masih boleh bertahan," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 12:21pm
d