rap

Marsha berdepan cabaran mental menjelang AJL36

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Marsha Londoh, 37, berdepan cabaran dari segi mental dalam membuat persiapan pertama kali bertanding di Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), Ahad ini.

Marsha berkata, dia berazam besar ingin melihat persembahannya menerusi lagu Cinta ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik itu meninggalkan impak serta kepuasan buat penonton nanti.

"Sejujurnya, saya agak bergelut mempersiapkan persembahan saya secara keseluruhan. Sekarang ini cabaran terbesar lebih kepada aspek persiapan mental. Ini kerana saya meletakkan harapan yang cukup tinggi supaya persembahan nanti menjadi. Saya yakin dengan izin-Nya boleh berikan yang terbaik, Insya-Allah," katanya.

Marsha berkata, dia mementingkan aspek vokal kerana konsep persembahannya nanti agak ringkas.

Dia berharap nyanyiannya tidak terjejas dengan sebarang masalah kesihatan.

"Dari segi pementasan, semuanya okay kerana saya pun memilih konsep minimalis. Saya cuma risau bahagian nyanyian kerana lagu Cinta sangat besar dan mencabar.

"Sekarang pun saya rasa badan tidak berapa sihat dan terpaksa hadkan untuk paksa berlatih. Alhamdulillah, saya turut mendapat tunjuk ajar daripada beberapa guru vokal termasuk Cikgu Syafi," katanya.

Dalam pada itu, Marsha juga berjanji tidak akan mengecewakan penonton terutama peminat yang ingin melihat dia merangkul kemenangan.

"Saya sangat berharap persembahan saya nanti dipermudahkan. Walaupun memang nak sangat menang, tapi dapat memuaskan hati semua bagi saya sudah memadai," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 5:09pm
d