rap

Ahmad Idham tak tahu kenapa dia diberhentikan

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Kuala Lumpur: "Saya ditamatkan kontrak tanpa sebarang sebab," demikian penjelasan bekas Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhubung isu diberhentikan dalam tempoh 24 jam.

"Ya, saya sudah mendapat surat diberhentikan. Saya tahu ramai tertanya-tanya kenapa saya ditamatkan kontrak, hanya sempat berkhidmat selama empat bulan dengan Wisma Putra.

"Jujurnya, saya sendiri masih tercari-cari punca dan alasan diberhentikan. Saya tak tahu kerana langsung tidak diberikan penjelasan," katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan kontrak Ahmad Idham bersama Perunding Kreatif, Datuk Seri Eizlan Yusof dan setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan.

Difahamkan, ia berlaku dalam tempoh 24 jam, namun Saifuddin tidak menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan.

"Saya tiada sebarang komen mengenai perkara ini," katanya kepada sebuah portal berita.

Enggan terus menimbulkan persepsi buruk yang bakal merosakkan reputasi, Ahmad Idham dan Eizlan akan mengadakan sidang akhbar untuk memberikan penjelasan lanjut, petang ini.

"Saya akan menerangkan situasi yang berlaku dalam sidang akhbar, petang ini. Saya kena menjelaskannya agar tidak timbul tohmahan lain membabitkan parti politik. Saya percaya pasti ada yang cuba menangguk di air keruh," katanya.

Menjawab pertanyaan adakah punca ditamatkan kontrak disebabkan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah tiket Bersatu, Ahmad Idham enggan mengulas lanjut.

"Tunggu penjelasan saya dalam sidang akhbar nanti," katanya.

Terdahulu, lantikan Ahmad Idham dan Eizlan selaras objektif membangunkan Diplomasi Budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia pada 1 November, tahun lalu.

Sebelum pelantikan itu, Ahmad Idham adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Disiarkan pada: March 4, 2022 @ 11:44am
d