rap

Ali XPDC kena angin ahmar di restoran

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Ali XPDC sekali lagi berdepan ujian getir apabila dikejarkan ke Hospital Ampang (HA) selepas mengalami serangan angin ahmar ringan, semalam.

Pemain gitar XPDC, Izo ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika mereka mahu makan selepas selesai berlatih di studio Eddie (pemain bass) di Pandan Indah. 

"Kami dalam persiapan Konsert Jualan Hitam 2022 yang bakal berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting pada 12 Mac ini.

"Ali nampak sihat seperti tiada apa-apa masalah semasa latihan. Apabila selesai dan hujan lebat reda, kami bergerak ke restoran berdekatan sekitar jam 9.30 malam.

"Ketika ini keadaan Ali diam sahaja tak bercakap. Dia tak sempat makan kerana apabila makanan sampai, keadaannya seperti mamai dan tidak bercakap. Kami tanya pun tiada respons," katanya kepada Harian Metro. 

Anak Izo iaitu Arif yang turut terbabit dalam XPDC segera menghubungi ambulans, manakala Izo pula segera menghubungi isteri Ali bagi menjelaskan apa yang berlaku. 

"Kebetulan isteri dan anak-anaknya turut serta dan menunggu dalam kereta sekitar situ. Mereka segera datang ke restoran terbabit.

"Sementara Arif pula banyak berkomunikasi dengan doktor dan buat apa yang disuruh sehinggalah ambulans sampai. Keadaan Ali ketika itu sangat lemah. 

"Saya dan penganjur bercadang melawatnya hari ini dan mendapatkan pengesahan doktor berhubung penyakit sebenar yang dihidapinya," katanya.

Menurutnya, selepas itu baharulah mereka akan membuat keputusan samada menunda konsert atau digantikan dengan penyanyi lain.

Terdahulu Ali, 53, pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas mengalami serangan jantung pada September lalu. 

Kronologi peristiwa bermula apabila pada 26 Mac 2020, dia pernah melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di rumahnya. 

Awal tahun ini, Ali pernah dikejarkan ke Hospital Shah Alam selepas mengalami kesukaran bernafas dan masalah jantung.

Sementara itu, Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkata, isteri Ali memberitahu, doktor mengesahkan suaminya terkena serangan strok ringan dan kini ditempatkan di unit kecemasan Hospital Ampang.

Disiarkan pada: March 5, 2022 @ 3:48pm