rap

Que Haidar syukur dapat iringi jenazah ibu tercinta ke liang lahad

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Que Haidar, bersyukur pengurusan jenazah ibunya, Allahyarham Rahmah Hussein berjalan lancar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, Johor, selepas Zohor hari ini.

   Lebih bermakna, dia turut mendapat peluang buat kali terakhir untuk terbabit sama dalam urusan pengebumian insan kesayangannya itu.

   "Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk sama-sama kebumikan mak. Hanya Tuhan yang tahu macam mana perasaan saya.

   "Moga mak tenang disana," katanya kepada Harian Metro. 

   Terdahulu, Que berkongsi berita sedih mengenai ibunya, Rahmah, 68, yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, pada jam 1.20 pagi tadi.

   Que berkata, arwah ibunya juga ada menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung dan darah tinggi, sejak beberapa tahun lalu.

   Ujarnya, dia mulanya menerima berita sedih mengenai arwah ibunya itu daripada kakak yang memaklumkan keadaan Allahyarham yang nazak dan mengadu sakit dada. 

  Sebelum ini, arwah juga pernah mengalami serangan jantung sebanyak empat kali iaitu kali pertama di rumah adik Que di Pasir Gudang dan selebihnya di hospital.

   Menurut Que, arwah ibunya sudah lama tinggal dengan adik perempuannya di Pasir Gudang. 

   "Rumah kampung ini pula dah lama diduduki oleh adik lelaki saya dan keluarganya.

   "InsyaAllah kami akan buat tahlil malam ini. Namun saya tak pasti akan berada lama di sini kerana esok harus memulakan penggambaran telefilem sulung, Bahalol di Mersing.

   "Bagaimanapun alhamdulillah ada seorang lagi pengarah yang bersama saya iaitu Zainorhisham Samudin untuk membantu sekiranya berlaku apa-apa masalah yang tak dapat dielakkan," katanya. 

   Allahyarham Rahmah meninggalkan 10 anak dan 27 cucu.

 

Disiarkan pada: March 6, 2022 @ 5:53pm
d