rap

'Saya tak hadap, tak hairan pun!' - Azwan Ali

Kuala Lumpur: Pengacara sensasi, Azwan Ali enggan mendedahkan punca namanya digugurkan sebagai pengacara program realiti, Mic On musim kedua di Awesome TV.

Azwan ketika dihubungi berkata, persoalan itu sepatutnya ditanya kepada pihak pengurusan Awesome TV yang mengambil keputusan drastik itu.

"Mereka boleh cakap apa saja, dipersilakan. Allah Maha Berkuasa. Tunggu sajalah nasib mereka, karma itu pasti ada.

"Saya tak rasa apapun, malah saya tetap kaya-raya dan disambar sana-sini oleh pihak produksi. Saya tak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran 'ciput' (sedikit) ini, tapi saya buat demi peminat.

"Mereka boleh pertahankan kru dan wakil pengurusan, tapi saya juga ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya," katanya kepada Harian Metro.

Azwan berharap pihak Awesome TV tidak sesekali mempergunakan orang sesuka hati dan selesaikan hutangnya secepat mungkin.

"Bayar hutang saya sebelum saya buat laporan polis. Sudahlah bayar 'ciput'. Jangan sesekali menggelupur mempergunakan orang, saya tak hadap.

"Penonton tengok Mic On sebab saya. Jangan nak kurang ajar dengan saya. Mereka ingat mereka besar sangat. Mereka aniaya saya, tunggu karma yang bakal menanti.

"Ada benda kurang ajar sudah berlaku. Jangan tanya saya, tapi tanya kepada mereka apa benda kurang ajar yang saya dakwa sudah berlaku dalam pengurusan Awesome TV. Saya takkan dedahkan tapi suruh mereka keluarkan kenyataan media.

"Saya bila-bila masa boleh ke balai polis dan menggunakan khidmat peguam saya. Selagi hutang saya tak bayar jangan terkejut kalau ini jadi kes polis," katanya.

Terdahulu Awesome TV dalam satu kenyataan memaklumkan Azwan digugurkan sebagai pengacara program realiti Mic On musim kedua (Mic On 2) berkuat kuasa serta merta hari ini.

Bagaimanapun, punca sebenar Azwan digugurkan daripada program itu tidak didedahkan.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 8:35pm
d