rap

Nazri Noran terima anugerah 'Lifetime Achievement Of The Year'

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran menerima anugerah 'Lifetime Achievement Of The Year' di acara Malaysia Prestigious Industry Awards 2021, semalam.

Mewakili industri penyiaran audio, Nazri tidak sangka mendapat pengiktirafan terbabit apatah lagi dia sendiri baharu memulakan karier bersama MPA.

"Syukur Alhamdulillah. Saya masih lagi terkejut! Sejujurnya, saya masih di titik awal perjalanan bersama Media Prima Audio. Walaupun masih tinggi pendakiannya, saya pasti kami akan kekalkan momentum ini.

"Saya menghargai anugerah ini yang menjadi peringatan untuk terus maju ke hadapan. Saya teringat juga kata-kata Robin Sharma iaitu 'Nothing Fails Like Success'. Saya semestinya akan terus menjadi pencabar untuk kami mengejar kedudukan nombor satu," katanya.

Nazri turut mendedikasikan pengiktirafan itu kepada individu-individu penting sepanjang kariernya dalam industri radio termasuk pasukan MPA sendiri.

"Terima kasih teristimewa buat Datuk Jake Abdullah kerana beliau orang pertama percayakan dan mengajar saya perniagaan radio ketika saya tidak tahu apa-apa. Kepada isteri Jaja Roseliza Hussein sentiasa tahan amukan, ibu dan keluarga serta pasukan radio terdahulu dan sekarang.

"Semua ini menjadi kenyataan dengan semangat berpasukan yang hebat dan anugerah ini buat kamu juga. Saya turut dedikasikan kepada pasukan MPA," katanya.

Media Prima Berhad mengumumkan pelantikan Nazri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE pada 1 Jun 2021.

Pada 2 Ogos 2021, RIPPLE ditukar nama kepada MPA bersempena penjenamaan semulanya.

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 8:16pm
d