rap

Video penghijrahan Nabil jentik hati Asfan untuk berubah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Asfan Shah tidak pernah menjangka video penghijrahan pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang ditontonnya di YouTube benar-benar menjentik hatinya.

Asfan berkata, selepas menonton video itu, dia tergerak hati untuk keluar berdakwah selama tiga hari bersama sahabat-sahabatnya.

"Sebenarnya, ada satu malam saya mencari video telefilem yang pernah saya lakonkan beberapa tahun lalu di YouTube. Niat saya nak muat naik ke Instagram, tapi saya tak dapat jumpa video itu sebaliknya saya terjumpa video mengenai penghijrahan Nabil. Bila saya buka dan tonton, saya rasa sangat tersentuh," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Asfan, dia kemudiannya menghubungi salah seorang sahabatnya dan bertanya mengenai mana-mana majlis keagamaan yang boleh disertainya.

"Kebetulan, dia beritahu saya bahawa dia dan kumpulan tabligh yang disertainya akan keluar berdakwah selama tiga hari di Mersing, Johor dan mempelawa saya untuk menyertai mereka.

"Kami kemudiannya berjumpa dan saya nampak dia sangat bersemangat mengajak saya menyertai mereka. Saya tak fikir banyak, saya terus bersetuju," katanya.

Asfan juga tidak menyangka hasratnya itu juga turut mendapat persetujuan isterinya.

"Sebelum maklumkan kepada isteri, saya rasa risau juga dan bersiap sedia sekiranya dia tidak bersetuju memandangkan di rumah ada anak kami yang masih bayi.

"Namun, jawapan isteri saya sangat menyentuh hati saya. Katanya, isteri mana yang tak gembira kalau suaminya keluar ke jalan Allah. Itu jawapan dia dan buatkan saya sangat gembira," katanya.

Kelmarin, Asfan menamatkan tiga hari proses keluar berdakwah dan menimba pelbagai pengalaman baru dalam kehidupannya.

"Selama 37 tahun saya hidup, saya tak pernah menyangka bahawa saya akan melalui pengalaman ini. Semuanya dipermudahkan oleh Allah.

"Sepanjang tiga hari, saya bersama sahabat-sahabat keluar berdakwah, tidur di madrasah dan makan sama-sama. Itu sememangnya satu pengalaman berharga.

"Saya mohon agar semua dapat mendoakan saya untuk terus beristiqomah memandangkan saya juga masih dalam proses belajar dan mendalami ilmu agama," katanya.

Di Instagram, Asfan berkongsi beberapa gambar kenangan bersama sahabat-sahabatnya ketika bersama-sama keluar selama tiga hari.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 4:26pm
d