rap

Zul Ariffin hadir ke SKMM

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Zul Ariffin dilihat hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pagi, hari ini, dipercayai untuk memberi kenyataan berhubung tindakannya memuat naik video babak panas dalam drama Perempuan Itu lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa di Instagram, baru-baru ini.

Menurut sumber, Zul yang hadir bersama beberapa individu dilihat berada di situ sejak jam 10 pagi.

Bagaimanapun, Zul meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Zul tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan dan mesej WhatsApp.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter berkata, Zul yang akan disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berhubung perkara itu.

"Proses undang undang berjalan. Pelakon Zul Arifin akan di siasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana 'posting' Instagram yang menyalahi undang undang," tulisnya di Twitter.

Dalam hantaran yang sama, Annuar berkata, adegan seperti yang dipaparkan itu tidak akan dibenarkan untuk tayangan sama ada di bulan Ramadan atau bulan yang lain.

"Jagalah nilai dan budaya," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 4:03pm
d